Thursday, December 31, 2009

:: Menilai erti KASIH SAYANG::



::Permulaan sama penting dengan penghujung kerana permulaan itu mempengaruhi penghujung. Jangan mengatakan hanya salah satu yang penting kerana kedu-duanya sama penting::


Dengan Nama Mu Ya Allah ku SERU dalam tiap hembusan nafas ku...
Kuatkan hati ini..dalam hidup yang penuh dugaan dan ujian..jangan Kau lepaskan daku untuk pergi jauh dari Mu walaupun dalam sekelip mata..Aku lemah tanpa Mu..Apakah maknanya hidup ini tanpa Mu..

Takaran musibah yang terukur dengan tangisan dan beratnya tragedi. Membuatkan pipi haus akan air mata. Bencana masa telah menutupi wajah. Awanan kedukaan yang pekat disertai hujan tangisan ku biarkan kekal sepi.


Semakin pantas masa meninggalkan kita. Suka dan duka silih berganti. Pejam celik mata ini. Sudah sampai tahun 2010. Diari tahun 2009 pasti menjadi sejarah yang kekal dalam ingatan.
Ini bermakna tidak sampai setahun lagi kesempatan untuk terus ku melakar ceritera di bawah langit biru Morocco ini. Masa yang pantas berlalu sangat mengusarkan hati. Butir ilmu yang ingin ku gapai dari jejak-jejak ilmuwan yang kabur dengan debuan ini sudah cukupkah untuk ku bawa jadi bekalan?? Taklifan amanah yang ingin ku bawa pulang sebagai penyuluh jalan.
Semoga Allah berkati usaha kami..

Lembaran ceritera baru ku mulai dengan pujian buat Pemilik dunia ini. Ya Allah..Dengan kasih sayang dan cinta Mu masih Kau kurniakan nikmat usia. Kasih sayang Mu ku damba selamanya. Namun sering sahaja aku sia-siakan.
Usia muda ini sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya. Kita yang mencorakkan dunia kita. Gunakanlah akal yang Allah kurniakan untuk memilih jalan yang terbaik.

Terima kasih kepada sumber semangat dan inspirasi. Emak dan Abah..:) Sejak kecil hingga ke hari ini. Tidak pernah berkurang kasih sayang kalian berdua. Perbualan tadi benar- benar membuatkan diri ini sedar. Sekeping hati seorang ibu dan ayah. Perasaan kalian berdua yang sunyi tanpa anak-anak di sisi. Semuanya makin membesar dan terpaksa membawa haluan kehidupan masing-masing. Besarnya pengorbanan kalian untuk kami. Hanya doa tulus dari kejauhan ku utuskan buatmu ayahanda dan bonda.
Ingatlah yang sesungguhnya kita adalah bekalan mereka di sana. Semoga kita semua menjadi anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan ibubapa kita inshaAllah...

Along dan Abang izz bakal menimang cahaya mata kedua. Abang Udin yang masih dalam suasana orang arabnya dan abang amal bakal menamatkan pengajian. Alhamdulillah..Perbualan dengan adik tadi..panjang kisahnya. Tekanan di bumi sana benar-benar merisaukan diri ini. Bukan mudah menjadi hamlatul quran. Ku fahami adik ku sayang. Sedaya upaya ku cuba membantu. Kenapa aku turut terkesan dengan perkongsian luahanmu itu?? Semoga dengan sedikit kata-kata itu moga menjadi pembakar semangat buatmu.

Apakah dikau mengerti menilai erti kasih sayang ??

Kadang-kadang kita sering tidak menghargai insan- insan di hadapan kita. Namun bila berjauhan dan hilangnya saat untuk bersama...:(
Maka...Hargailah sebelum hilang dari sisi..

Dalam usia yang singkat ini. Hargailah mereka-mereka yang berada di sekeliling anda. Belajar menerima apa jua keadaan dalam hidup ini. Sesungguhnya hidup ini aturan Allah yang TERBAIK.

Belajarlah menilai kasih sayang. Kerana dalam kasih sayang itu sebenarnya menjadikan kita lebih kuat untuk berjalan malah berlari dalam menuju redhaNya.

Kasih Sayang Allah.. Kasih Sayang Ibubapa.. Kasih Sayang Keluarga.. Kasih Sayang Sahabat.. Kasih Sayang untuk umat islam...

Jangan lupa untuk doakan saudara-saudara kita di Palestin..
Semoga Allah memberikan kemenangan untuk umat Islam..
ameen..



Exam sem 1..tinggal sejarah :)


p/s: Final exam mode. Harap doa dari semua sahabat... Allahu yubarik fikum...

Saturday, December 19, 2009

::Muharam Yang Datang Bertamu::


Dengan Nama Mu Ya Allah aku berlindung daripada segalanya yang membawa aku jauh dari jalanMu.

Alhamdulillah ya Rabbal la3lamin. Masih lagi mampu menghirup udara dan merasai kenikmatan iman dan islam. Mungkin masih belum terlambat untuk diucapkan SALAM MAAL HIJRAH buat semua. Semoga Tahun Baru dengan semangat yang baru, nafas kehidupan yang lebih menyegarkan dan semakin bertambah cinta kita kepada Pencipta. Kehidupan yang lepas adalah pelajaran yang paling berharga untuk mengorak langkah ke hadapan dengan penuh keyakinan. Terokailah diri sendiri yang telah diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian.

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya)."

At-Tin:4

Hujan di luar sana masih renyai-renyai dan sekali-kala angin kuat yang bertiup mengegarkan juga jendela usang ini. Ketika menjenguk ke luar jendela, plastik,cebisan sampah kecil serta debuan di jalanan itu berterbangan ke udara dan laju di bawa angin. Lantas kurapatkan sahaja tingkap ini kerana bimbang akan dipenuhi habuk pula bilik ini nanti. Hujan renyai yang berpanjangan sebegini akan menyebabkan penurunan suhu. Maka, semakin bertambahlah juga ketebalan baju untuk dipakai. Semuanya kerana khuatir ditimpa sakit. Sudah masuk tahun ketiga di sini dan diri ini menjadi semakin peka dengan sejuk. Kalau diikutkan pengalaman tahun pertama dan kedua senang sahaja ditimpa selsema dan batuk. Khabar sahabat kami yang berada di selatan Morocco yang telah dikuarantin kerana disyaki mengidap influenza H1N1 begitu membuatkan saya bertambah risau. Alhamdulillah kesihatan dia pun semakin positif sekarang. Jangan dilupakan tentang kesihatan ya sahabat-sahabat. Kadar kesihatan juga mempengaruhi graf ibadah kita dan perjalanan hidup seharian kita.





02 Muharam 1431H hari ini, lengkaplah takwim kelahiran ku yang kini berumur 21 tahun.
Harapan ku agar dapat berbakti kepada agama, ibubapa dan negara. Menjadi insan yang mampu sentiasa memberi manfaat kepada insan yang lain. InsyaAllah. Hidup ini sebenarnya terlalu singkat untuk melunaskan kesemua tanggungjawab kepada mereka yang berhak. Usaha..usaha..usaha..



SBPI JEMPOL, N9

Esok 03 Muharam 1431H,pagi-pagi lagi adik akan mendaftar di Darul Quran untuk program persijilan. Tidak sampai seminggu lagi selepas menamatkan peperiksaan SPM dan kini manyambung perjuangan di bumi barakah sana. Semoga adik kuat dan bertabah untuk mencapai matlamat menjadi HamlatulQuran. Really proud of you dear. Walaupun dulu pernah mengalami kekecewaan kerana gagal untuk menembus masuk untuk merasai biah solehah di balik tembok yang penuh dengan kedamaian itu. Bittaufiq Wan Najah di sana adik.



Darul Quran, KKB


Di samping itu saya mahu mengajak sahabat-sahabat pada bulan MUHARAM ini dengan menghidupkannya dengan sunnah Rasulullah SAW.


Jom kita Berpuasa..:)

Puasa pada bulan Muharram

Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)

Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)


Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)


Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)

Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)


[[Puasa sunat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)]]

Waallahu ta3ala A3lam..




Thursday, December 10, 2009

::TERBAIK itu...::





Allah telah mengaturkan perjalanan hidup yang TERBAIK untuk hambaNya. Kalaupun kita merasakan yang hadir dalam hidup kita itu bukan yang TERBAIK namun sebenarnya itu hanya perhitungan kita secara zahir dan bersifat lemah. Hakikat yang lebih utama sebagai seorang mukmin adalah kita perlu sentiasa melakukan yang TERBAIK di dalam hidupnya.








Masih adakah alasan untuk terus bersenyum ??
Untuk hari ini, esok, lusa dan selamanya??

::Berusahalah dalam mengapai REDHANYA....

Wednesday, December 2, 2009

::DETIK UMUR::



DETIK UMUR



Masa berjalan begitu laju
Tidak pernah berhenti walaupun sedetik

Ertinya detik umur kita meninggalkan kita

Kalau begitu setiap detik umur kita berkurang

Tapi kita tidak terasa

Setiap detik dunia meninggalkan kita jauh
Setiap detik pula akhirat mendekati kita
Kalaulah kita cintakan dunia

Apa yang kita cinta makin jauh terpisah

Sedangkan Tuhan dan akhirat Tidak pernah kita cinta,
Makin dekat
Alangkah terseksanya jiwa
Meninggalkan apa yang disuka dan dicintai

Bertambah terseksa lagi yang dihadapan kita

Tidak pernah kita cinta

Ertinya kita pergi ke akhirat tidak membawa apa-apa

Yang kita cinta hendak ditinggalkan

Yang tidak cinta akan berhadapan

Aduh!
Dua kali penderitaan

Meninggalkan yang kita cinta

Hendak bertemu dengan yang tidak kita cinta


Tuesday, December 1, 2009

Maafkan SAHABAT mu ini..



"Hari ini mesti cari DIA di kuliah" tekad ku dalam hati.

Kebimbangan yang diselubungi seribu andaian sejak Khamis lepas. Dia tidak menampakkan wajahnya. Kebiasaannya dia akan menjemput kami ke rumahnya sehari sebelum Eid. Entah. Kami satu rumah tertanya-tanya sesama sendiri.

"Dia balik kampung??"
"Tak sihat kot??"
"Rumah dia ada duyuf (tetamu) kot??"

Dia juga tidak muncul di pagi hari raya seperti selalu. Tidak sepeti Eid yang lepas, awal pagi lagi sudah menekan loceng rumah kami. Memanggil-manggil kami untuk cepat-cepat bersiap. Kelam kabut kami jadinya.

Dia sudah kuanggap seperti kakakku sendiri. Walaupun kami satu kelas yang sama namun umur kami berbeza. Matang. Perwatakanya yang mudah didekati dan memahami. Sejak hari pertama kami di universiti ku merasai ada sesuatu yang menghubungkan kami. Takdir Allah itu Maha Hebat. Rumah kami tidak jauh dari rumahnya. Maka, dia sering bertandang ke rumah kami dan kami pun selalu sahaja bertandang ke rumahnya. Mengenali keluarganya merupakan satu penghargaan buat ku. Bila melihat wajah ibunya (mama Faezah) hati sayu teringatkan emak jauh di sana. Terubat juga rindu. Tidak pernah kedekut meluangkan masa untuk bersama kami. Apatah lagi bila musim peperiksaan. Sepanjang hari kami belajar bersama-sama dan hanya rehat untuk solat dan makan. Bicaranya itu hikmah dan sentiasa disulami dengan nasihat. Hatinya lembut dan mudah tersentuh.

Dialah sahabat yang sentiasa ada untuk membantu. Shukran lak Asma'. "Hasbawi Asma"

Sepatutnya kami ke rumahnya kelmarin tetapi disebabkan jemputan daripada sahabat lain terpaksa kami tangguhkan. Sudah beberapa kali sudah bercadang untuk ke rumahnya untuk menziarahinya.

"Perasaan BERSALAH"

Dia tidak muncul di kelas pagi tadi. Meliar sahaja mataku di dalam kelas. Mencari-cari kelibat dia. Tiada.

Pagi tadi di waktu senggang sebelum bermula kelas kedua, bercadang untuk pulang sebentar.
Ketika melintas jalan yang agak sesak itu. Kedengaran jeritan kecil memanggil namaku .

"Asma'!!" Aku separuh menjerit. Terus peluk dia.
"Aina kunti?? Hal enti bekhaer?? Ahwal toyyibah??"
(Awak di mana?? Awak sihat?? Semuanya baik-baik??"
Soalan yang terus menerjahnya.

Muka dia sedih. Dan berkali-kali minta maaf. Dia risaukan kami. Bagaimana Eid kami. Dalam pertemuan yang singkat itu katanya ibunya dimasukkan ke hospital sehari sebelum Eid. Sakit yang memerlukan pembedahan segera.

"Qodhoitu leid bi ldumu' Farah"
(Aku merayakan eid dengan air mata farah)
kata-katanya itu begitu membuatkan betul-betul sedih dan rasa bersalah.

Sememangnya diri ini bersalah. Kenapa tidak ku menelefon atau hantar sahaja sms??
Perasaan bersalah ini bertambah bilamana teringat kata-kata Asma', ibunya yang sakit itu masih sempat bertanyakan bagaimana keadaan kami.
Semuanya ini aturan Allah. Ada juga perkara yang kita nampak ringan sahaja namun besar kesannya.

Semoga ibu mu cepat sembuh Asma'..

Maafkan sahabat mu ini..