Operasi bersepadu yang diadakan sungguh mengujakan saya untuk turut serta. Walaupun asalnya saya teragak-agak untuk membuat keputusan untuk turun bersama-sama menyaksikan operasi bersepadu ini.
Sebenarnya memang sudah berjanji dengan keluarga untuk pulang ke kampung bersama abang dari Ulu Langat untuk berhujung minggu bersama keluarga. Jadi saya terpaksa mengambil keputusan untuk tidak pulang bersama abang pada hari Jumaat tersebut dan menelefon keluarga untuk memaklumkan yang saya akan menyertai operasi unit penguatkuasa ini.
Sejujurnya memang sangat gementar (walaupun hanya menjadi pemerhati operasi). Ahli unit penguatkuasa PAID Jempol terdiri daripada Ustaz Shahizat, Ustaz Ab Halim, Ustaz Azam dan yang akhawatnya, Shakilla.
Kami bertolak daripada pejabat agama, jam lebih kurang 6.30pm. Di dalam kenderaan, Ustaz Ab Halim memberi sedikit penerangan tentang operasi malam tersebut mengenai tangkapan seksyen 78, minum minuman yang memabukkan dan juga penerangan peranan setiap seorang daripada kami. Sungguh teruja saya dibuatnya. Berdebar-debar hati ini. Entah, mungkin pengalaman pertama dan banyak sangat gambaran tentang apa yang akan berlaku. Sejuk yang menyelubungi diri. Hujan renyai petang hari itu semakin reda. Hati yang gundah menjadi sedikit tenang usai solat Maghrib.
Sasaran pertama tempat operasi hari tersebut ialah di kawasan Felda. Nama tempat secara spesifik terpaksa dirahsiakan. Sememangnya kawasan tersebut telah seminggu dijalankan risikan oleh unit penguatkuasa. Setiap selok belok jalan sudah dihadam oleh mereka. Kagum saya dibuatnya. Kenderaan kami yang akan mendahului kenderaan-kendaraan lain di dalam operasi ini.
Ustaz Shahizat dan Ustaz Azam bertindak sebagai perisik. Menyamar sebagai pelanggan yang mahu membeli rokok di kedai runcit yang dikenal pasti menjual minuman beralkohol. Di bahagian belakang premis yang lengkap dengan kerusi dan meja yang dikenalpasti sebagai "port minum arak". Sememangnya dikenalpasti beberapa penduduk tempatan yang berbangsa Melayu dan pastinya mereka adalah ISLAM.
Selepas 5 ke 10 minit pemerhatian yang teliti, termasuk meneliti kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku ketika proses penahanan. Contohnya lorong-lorong atau kawasan-kawasan yang membolehkan pesalah atau Orang Kena Tuduh (OKT) dapat meloloskan diri.
Akhirnya tempat tersebut diserbu pantas oleh kumpulan unit penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan juga IPK Seremban.
Kesemua OKT yang jumlahnya hampir 10 orang dibawa ke Balai Polis berhampiran. Satu lagi pengalaman baru, pengalaman masuk ke dalam balai polis dan melihat sendiri betapa cemasnya OKT yang diwajibkan menghadirkan penjamin-penjamin untuk membebaskan diri sebelum dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah.
Untuk operasi kedua yang dijalankan pada malam tersebut juga secara tiba-tiba dimaklumkan oleh ketua operasi, satu kumpulan memerlukan seorang untuk bahagian dokumentasi. Ini bermakna, saya yang asalnya bertindak sebagai pemerhati dengan rasminya menjadi salah seorang anggota yang terlibat untuk operasi serbuan pada malam itu.
Degupan jantung ini menjadi semakin kencang..
Bersambung….