Thursday, December 31, 2009

:: Menilai erti KASIH SAYANG::



::Permulaan sama penting dengan penghujung kerana permulaan itu mempengaruhi penghujung. Jangan mengatakan hanya salah satu yang penting kerana kedu-duanya sama penting::


Dengan Nama Mu Ya Allah ku SERU dalam tiap hembusan nafas ku...
Kuatkan hati ini..dalam hidup yang penuh dugaan dan ujian..jangan Kau lepaskan daku untuk pergi jauh dari Mu walaupun dalam sekelip mata..Aku lemah tanpa Mu..Apakah maknanya hidup ini tanpa Mu..

Takaran musibah yang terukur dengan tangisan dan beratnya tragedi. Membuatkan pipi haus akan air mata. Bencana masa telah menutupi wajah. Awanan kedukaan yang pekat disertai hujan tangisan ku biarkan kekal sepi.


Semakin pantas masa meninggalkan kita. Suka dan duka silih berganti. Pejam celik mata ini. Sudah sampai tahun 2010. Diari tahun 2009 pasti menjadi sejarah yang kekal dalam ingatan.
Ini bermakna tidak sampai setahun lagi kesempatan untuk terus ku melakar ceritera di bawah langit biru Morocco ini. Masa yang pantas berlalu sangat mengusarkan hati. Butir ilmu yang ingin ku gapai dari jejak-jejak ilmuwan yang kabur dengan debuan ini sudah cukupkah untuk ku bawa jadi bekalan?? Taklifan amanah yang ingin ku bawa pulang sebagai penyuluh jalan.
Semoga Allah berkati usaha kami..

Lembaran ceritera baru ku mulai dengan pujian buat Pemilik dunia ini. Ya Allah..Dengan kasih sayang dan cinta Mu masih Kau kurniakan nikmat usia. Kasih sayang Mu ku damba selamanya. Namun sering sahaja aku sia-siakan.
Usia muda ini sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya. Kita yang mencorakkan dunia kita. Gunakanlah akal yang Allah kurniakan untuk memilih jalan yang terbaik.

Terima kasih kepada sumber semangat dan inspirasi. Emak dan Abah..:) Sejak kecil hingga ke hari ini. Tidak pernah berkurang kasih sayang kalian berdua. Perbualan tadi benar- benar membuatkan diri ini sedar. Sekeping hati seorang ibu dan ayah. Perasaan kalian berdua yang sunyi tanpa anak-anak di sisi. Semuanya makin membesar dan terpaksa membawa haluan kehidupan masing-masing. Besarnya pengorbanan kalian untuk kami. Hanya doa tulus dari kejauhan ku utuskan buatmu ayahanda dan bonda.
Ingatlah yang sesungguhnya kita adalah bekalan mereka di sana. Semoga kita semua menjadi anak-anak soleh yang sentiasa mendoakan ibubapa kita inshaAllah...

Along dan Abang izz bakal menimang cahaya mata kedua. Abang Udin yang masih dalam suasana orang arabnya dan abang amal bakal menamatkan pengajian. Alhamdulillah..Perbualan dengan adik tadi..panjang kisahnya. Tekanan di bumi sana benar-benar merisaukan diri ini. Bukan mudah menjadi hamlatul quran. Ku fahami adik ku sayang. Sedaya upaya ku cuba membantu. Kenapa aku turut terkesan dengan perkongsian luahanmu itu?? Semoga dengan sedikit kata-kata itu moga menjadi pembakar semangat buatmu.

Apakah dikau mengerti menilai erti kasih sayang ??

Kadang-kadang kita sering tidak menghargai insan- insan di hadapan kita. Namun bila berjauhan dan hilangnya saat untuk bersama...:(
Maka...Hargailah sebelum hilang dari sisi..

Dalam usia yang singkat ini. Hargailah mereka-mereka yang berada di sekeliling anda. Belajar menerima apa jua keadaan dalam hidup ini. Sesungguhnya hidup ini aturan Allah yang TERBAIK.

Belajarlah menilai kasih sayang. Kerana dalam kasih sayang itu sebenarnya menjadikan kita lebih kuat untuk berjalan malah berlari dalam menuju redhaNya.

Kasih Sayang Allah.. Kasih Sayang Ibubapa.. Kasih Sayang Keluarga.. Kasih Sayang Sahabat.. Kasih Sayang untuk umat islam...

Jangan lupa untuk doakan saudara-saudara kita di Palestin..
Semoga Allah memberikan kemenangan untuk umat Islam..
ameen..



Exam sem 1..tinggal sejarah :)


p/s: Final exam mode. Harap doa dari semua sahabat... Allahu yubarik fikum...

Saturday, December 19, 2009

::Muharam Yang Datang Bertamu::


Dengan Nama Mu Ya Allah aku berlindung daripada segalanya yang membawa aku jauh dari jalanMu.

Alhamdulillah ya Rabbal la3lamin. Masih lagi mampu menghirup udara dan merasai kenikmatan iman dan islam. Mungkin masih belum terlambat untuk diucapkan SALAM MAAL HIJRAH buat semua. Semoga Tahun Baru dengan semangat yang baru, nafas kehidupan yang lebih menyegarkan dan semakin bertambah cinta kita kepada Pencipta. Kehidupan yang lepas adalah pelajaran yang paling berharga untuk mengorak langkah ke hadapan dengan penuh keyakinan. Terokailah diri sendiri yang telah diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian.

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia Dalam bentuk Yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai Dengan keadaannya)."

At-Tin:4

Hujan di luar sana masih renyai-renyai dan sekali-kala angin kuat yang bertiup mengegarkan juga jendela usang ini. Ketika menjenguk ke luar jendela, plastik,cebisan sampah kecil serta debuan di jalanan itu berterbangan ke udara dan laju di bawa angin. Lantas kurapatkan sahaja tingkap ini kerana bimbang akan dipenuhi habuk pula bilik ini nanti. Hujan renyai yang berpanjangan sebegini akan menyebabkan penurunan suhu. Maka, semakin bertambahlah juga ketebalan baju untuk dipakai. Semuanya kerana khuatir ditimpa sakit. Sudah masuk tahun ketiga di sini dan diri ini menjadi semakin peka dengan sejuk. Kalau diikutkan pengalaman tahun pertama dan kedua senang sahaja ditimpa selsema dan batuk. Khabar sahabat kami yang berada di selatan Morocco yang telah dikuarantin kerana disyaki mengidap influenza H1N1 begitu membuatkan saya bertambah risau. Alhamdulillah kesihatan dia pun semakin positif sekarang. Jangan dilupakan tentang kesihatan ya sahabat-sahabat. Kadar kesihatan juga mempengaruhi graf ibadah kita dan perjalanan hidup seharian kita.





02 Muharam 1431H hari ini, lengkaplah takwim kelahiran ku yang kini berumur 21 tahun.
Harapan ku agar dapat berbakti kepada agama, ibubapa dan negara. Menjadi insan yang mampu sentiasa memberi manfaat kepada insan yang lain. InsyaAllah. Hidup ini sebenarnya terlalu singkat untuk melunaskan kesemua tanggungjawab kepada mereka yang berhak. Usaha..usaha..usaha..



SBPI JEMPOL, N9

Esok 03 Muharam 1431H,pagi-pagi lagi adik akan mendaftar di Darul Quran untuk program persijilan. Tidak sampai seminggu lagi selepas menamatkan peperiksaan SPM dan kini manyambung perjuangan di bumi barakah sana. Semoga adik kuat dan bertabah untuk mencapai matlamat menjadi HamlatulQuran. Really proud of you dear. Walaupun dulu pernah mengalami kekecewaan kerana gagal untuk menembus masuk untuk merasai biah solehah di balik tembok yang penuh dengan kedamaian itu. Bittaufiq Wan Najah di sana adik.



Darul Quran, KKB


Di samping itu saya mahu mengajak sahabat-sahabat pada bulan MUHARAM ini dengan menghidupkannya dengan sunnah Rasulullah SAW.


Jom kita Berpuasa..:)

Puasa pada bulan Muharram

Daripada Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." (Riwayat Muslim)

Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari." (Dikeluarkan oleh al-Tabrani)


Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." (Riwayat Muslim)


Puasa hari Tasu'a (Tanggal 9 Muharram)

Ia disunatkan, namun Rasullullah s.a.w. belum sempat mengerjakannya, bagaimanapun Baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa pada 9 Muharram,." (Riwayat Ahmad dan Muslim)


[[Puasa sunat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad)]]

Waallahu ta3ala A3lam..




Thursday, December 10, 2009

::TERBAIK itu...::





Allah telah mengaturkan perjalanan hidup yang TERBAIK untuk hambaNya. Kalaupun kita merasakan yang hadir dalam hidup kita itu bukan yang TERBAIK namun sebenarnya itu hanya perhitungan kita secara zahir dan bersifat lemah. Hakikat yang lebih utama sebagai seorang mukmin adalah kita perlu sentiasa melakukan yang TERBAIK di dalam hidupnya.








Masih adakah alasan untuk terus bersenyum ??
Untuk hari ini, esok, lusa dan selamanya??

::Berusahalah dalam mengapai REDHANYA....

Wednesday, December 2, 2009

::DETIK UMUR::



DETIK UMUR



Masa berjalan begitu laju
Tidak pernah berhenti walaupun sedetik

Ertinya detik umur kita meninggalkan kita

Kalau begitu setiap detik umur kita berkurang

Tapi kita tidak terasa

Setiap detik dunia meninggalkan kita jauh
Setiap detik pula akhirat mendekati kita
Kalaulah kita cintakan dunia

Apa yang kita cinta makin jauh terpisah

Sedangkan Tuhan dan akhirat Tidak pernah kita cinta,
Makin dekat
Alangkah terseksanya jiwa
Meninggalkan apa yang disuka dan dicintai

Bertambah terseksa lagi yang dihadapan kita

Tidak pernah kita cinta

Ertinya kita pergi ke akhirat tidak membawa apa-apa

Yang kita cinta hendak ditinggalkan

Yang tidak cinta akan berhadapan

Aduh!
Dua kali penderitaan

Meninggalkan yang kita cinta

Hendak bertemu dengan yang tidak kita cinta


Tuesday, December 1, 2009

Maafkan SAHABAT mu ini..



"Hari ini mesti cari DIA di kuliah" tekad ku dalam hati.

Kebimbangan yang diselubungi seribu andaian sejak Khamis lepas. Dia tidak menampakkan wajahnya. Kebiasaannya dia akan menjemput kami ke rumahnya sehari sebelum Eid. Entah. Kami satu rumah tertanya-tanya sesama sendiri.

"Dia balik kampung??"
"Tak sihat kot??"
"Rumah dia ada duyuf (tetamu) kot??"

Dia juga tidak muncul di pagi hari raya seperti selalu. Tidak sepeti Eid yang lepas, awal pagi lagi sudah menekan loceng rumah kami. Memanggil-manggil kami untuk cepat-cepat bersiap. Kelam kabut kami jadinya.

Dia sudah kuanggap seperti kakakku sendiri. Walaupun kami satu kelas yang sama namun umur kami berbeza. Matang. Perwatakanya yang mudah didekati dan memahami. Sejak hari pertama kami di universiti ku merasai ada sesuatu yang menghubungkan kami. Takdir Allah itu Maha Hebat. Rumah kami tidak jauh dari rumahnya. Maka, dia sering bertandang ke rumah kami dan kami pun selalu sahaja bertandang ke rumahnya. Mengenali keluarganya merupakan satu penghargaan buat ku. Bila melihat wajah ibunya (mama Faezah) hati sayu teringatkan emak jauh di sana. Terubat juga rindu. Tidak pernah kedekut meluangkan masa untuk bersama kami. Apatah lagi bila musim peperiksaan. Sepanjang hari kami belajar bersama-sama dan hanya rehat untuk solat dan makan. Bicaranya itu hikmah dan sentiasa disulami dengan nasihat. Hatinya lembut dan mudah tersentuh.

Dialah sahabat yang sentiasa ada untuk membantu. Shukran lak Asma'. "Hasbawi Asma"

Sepatutnya kami ke rumahnya kelmarin tetapi disebabkan jemputan daripada sahabat lain terpaksa kami tangguhkan. Sudah beberapa kali sudah bercadang untuk ke rumahnya untuk menziarahinya.

"Perasaan BERSALAH"

Dia tidak muncul di kelas pagi tadi. Meliar sahaja mataku di dalam kelas. Mencari-cari kelibat dia. Tiada.

Pagi tadi di waktu senggang sebelum bermula kelas kedua, bercadang untuk pulang sebentar.
Ketika melintas jalan yang agak sesak itu. Kedengaran jeritan kecil memanggil namaku .

"Asma'!!" Aku separuh menjerit. Terus peluk dia.
"Aina kunti?? Hal enti bekhaer?? Ahwal toyyibah??"
(Awak di mana?? Awak sihat?? Semuanya baik-baik??"
Soalan yang terus menerjahnya.

Muka dia sedih. Dan berkali-kali minta maaf. Dia risaukan kami. Bagaimana Eid kami. Dalam pertemuan yang singkat itu katanya ibunya dimasukkan ke hospital sehari sebelum Eid. Sakit yang memerlukan pembedahan segera.

"Qodhoitu leid bi ldumu' Farah"
(Aku merayakan eid dengan air mata farah)
kata-katanya itu begitu membuatkan betul-betul sedih dan rasa bersalah.

Sememangnya diri ini bersalah. Kenapa tidak ku menelefon atau hantar sahaja sms??
Perasaan bersalah ini bertambah bilamana teringat kata-kata Asma', ibunya yang sakit itu masih sempat bertanyakan bagaimana keadaan kami.
Semuanya ini aturan Allah. Ada juga perkara yang kita nampak ringan sahaja namun besar kesannya.

Semoga ibu mu cepat sembuh Asma'..

Maafkan sahabat mu ini..




Sunday, November 29, 2009

Eidul Adha Mubarak Sa3eid: Edisi Kongsi Cerita

Allahu akbar
Allahu akbar..
Walillah ilhamd..






Alhamdulillah masih dikurniakan cintaNya. Merasai nikmat iman dan islam. Kali ini sekadar coretan perkongsian pengalaman. Kadang-kadang perlu juga menoleh jalan yang telah kita lalui moga jadi azimat yang memberi kekuatan, semangat dan iktibar untuk terus melangkah ke hadapan.









Eidul Adha kali pertama pada tahun 2007. Kami yang berlima. Shifa' (rindu kamu kak long) , Salmee, Atiqah, Atirah dan Farah yang membuka lembaran sejarah dalam hidup dalam menyambut eidul Adha di bumi Morocco tanpa keluarga di sisi. Terasing. Itu yang dapat kami mampu gambarkan. Namun, kami fahami inilah cabaran. Masjid Uhud itu saksi betapa kami merasai nilai cinta sahabat dalam memberikan kekuatan dalam nilai sebuah persahabatan. Kibas yang kita kongsikan membuahkan ukhuwah yang indah. Dalam kekalutan yang terasing kami dihadirkan dengan sahabat-sahabat MAGHRIBIYAT yang menghulurkan tangan, senyuman dan jiwa raganya. Kasih sayang dan ikatan persaudaraan islam. Mereka sememangnya sentiasa cuba memahami kami yang lisannya masih kaku. Terima kasih jua senior-senior yang sentiasa cuba membantu. Eidul Adha kali pertama yang hebat pengalamannya.










Eidul Adha ke2 pada tahun 2008. Terasing itu tiada lagi dalam diari hidup kami. Alhamdulillah. Merasai diri kami yang sentiasa dipunyai. Sebening sinar pagi Eidul Adha yang kami lalui tanpa "kak long" di sisi. Alangkah kiranya dikau berada di sisi kami. Rindu kamu. Semoga dikau berjaya di bidang yang diimpikan. Percayalah segala yang berlaku ada hikmahnya. Ku fahami dan ku mengerti kerana ada perkara dalam hidup yang memerlukan kata putus yang tidak boleh membuatkan semua orang faham.








Kini, penuh keindahan dan penuh keberkatan. 11 Zulhijah 1430H. Hari kedua Menyambut AidilAdha. Nyaman sekali udara hari ini. Sejuk. LHAMDULILLAH. Menunggu untuk dijamu harirah pagi ini dan akan bertandang di rumah akhawat TURKIYAT.

Semalam kemeriahan eidul adha kali ke3 cukup terasa di bumi Maghribi dan harapannya mungkin kali terakhir menjadi tetamu eid di tanah gersang ini. Kehadiran junior2 yang melengkapkan ruang cerita dan ceria bersama. Gelak tawa bersama-sama teman seperjuangan di jalanan sambil mengulang-ngulang pengalaman dan cerita saat pertama kali menikmati eidul adha di sini. Pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan. HEBATnya Eidul Adha di sini.
Kalau di Malaysia dulu tidak sekali terasa sebegini.

"Masyarakat di Malaysia lebih sukakan Eidul Fitri berbanding Eidul Adha".

Bila saya katakan kenyataan ini kepada sahabat arab saya. Dia sangat pelik.


Di awal Zulhijah mereka berlumba-lumba melakukan ibadah dan amal. Bersedekah dan berpuasa. Sungguh terasa keberkahan Zulhijah nya. Risalah-risalah mengenai Zulhijah tersebar di sana dan sini. Semua orang sibuk memperkatakannya dan sibuk juga mahu merayakan Eidul Adha. Tetapi di Malaysia Hari Raya Haji hanya untuk orang yang menunaikan haji. Itulah fikrahnya. Saya pasti mungkin kerana pengertian Zulhijah itu sendiri tidak sampai di dalam masyarakat lagi. Eidul Adha bagi kita di Malaysia hanyalah cuti untuk merehatkan diri di rumah bersama-sama keluarga atau sama sahaja seperti cuti-cuti yang lain. Pelajar-pelajar yang ternanti- nantikan sahaja lambaian cuti tanpa didedahkan mengenai Zulhijah. Sedih.

Baru saya sedar eid kaber (besar) dipandangan Islam dipandang kecil di sisi masyarakat kita.

Thursday, November 26, 2009

::ZULHIJAH: Dalam Menyahut Seruan Ilahi::



Dalam bulan Zulhijjah, Allah menganugerahkan masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah. Iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, Aidil Adha dan Hari Tasyriq.

Sesungguhnya, Allah SWT telah bersumpah dengan Fajar Aidil Adha dan 10 malam bulan Zulhijjah dalam surah al-Fajr ayat 1 dan 2:

Demi waktu fajar Aidil Adha; dan malam 10 Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).

Kita maklumi, Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut. Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain.

Banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya.

Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat r.a bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Rasulullah SAW bersabda, “Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid”. (riwayat al Bukhari)

Ulama berdalilkan hadis ini sebagai galakan atau sunat berpuasa pada sembilan hari daripada 10 hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh.

Perkara ini disebut oleh al Hafiz Ibnu Hajar r.a, Rasulullah SAW juga bersabda:

“Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang ke-9) menyamai puasa 1000 hari dan sehari puasa pada hari Arafah menyamai puasa 10,000 hari”.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepada-Nya daripada 10 hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar”.

Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan korban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya. Iaitu, bermula dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban.

Hal ini berdasarkan hadis Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW bersabda:

“Apabila masuk hari yang 10 Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun”.

Di dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya”.

Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu penerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia akan menerimanya.

Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadis ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun amalan yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan.

Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihi-Nya.

Hari Arafah

Hari Arafah ialah hari para jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Ia terkenal sebagai kemuncak bagi segala amalan atau rukun haji.

Allah yang bersifat Maha Pemurah memuliakan dan membesarkan hari tersebut dengan mencurahkan rahmat dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa dan meminta keampunan kepada-Nya.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada hari yang lebih banyak pembebasan dari neraka daripada hari Arafah”.

Justeru pada hari tersebut, kita amat digalakkan supaya memperbanyakkan doa dan istighfar. Daripada Abdullah ibn Amru r.a berkata:

“Kebanyakan doa Nabi SAW pada hari Arafah ialah “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah; Yang Maha Esa tanpa ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kekuasaan dan pujian. Di dalam kekuasaan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.

Di antara doa bagi memohon keampunan dan pembebasan dari api neraka ialah:

“Ya Allah! Bebaskanlah tengkukku daripada api neraka, luaskanlah untukku dengan rezeki yang halal dan palingkanlah (hindarilah) daripadaku jin dan manusia yang fasiq”.

Kita juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah kerana Rasulullah SAW bersabda:

“Puasa pada hari Asyura akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya). Manakala puasa hari Arafah, akan mengkafarahkan dosa dua tahun; setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang”.

Sebagaimana yang disebut di dalam hadis, bahawa Rasulullah SAW berdoa pada petang hari Arafah agar diampunkan dosa-dosa umatnya termasuk orang yang zalim. Apabila Allah memakbulkan doanya, Baginda SAW tersenyum kerana melihat iblis mengambil tanah lalu menaburnya di atas kepalanya sambil mengeluh panjang apabila mengetahui doa Baginda SAW dimakbulkan dan dosa-dosa umatnya diampunkan.

Aidil Adha

Solat hari raya merupakan khususiat/keistimewaan umat ini seperti solat istisqa’ (minta hujan) dan kusuf (gerhana matahari).

Di antara dua solat hari raya, solat Aidil Adha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT:

Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidil Adha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al Kauthar: 2)

Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.

Ibadah korban merupakan sunat muakkad bagi umat Islam dan makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan. Rasulullah SAW sendiri memberi amaran kepada orang yang enggan berkorban.

Ini sebagaimana sabdanya:

“Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban tetapi tidak berkorban, maka jangan hadir di tempat solat kami”.

Sesiapa yang melakukan korban pada hari tersebut, akan diampunkan dosanya dan ahli rumahnya pada titik pertama darah sembelihan korbannya.

Sesiapa yang memberi makan dan bersedekah dengannya, akan dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang yang mendapat keamanan dan timbangannya lebih berat daripada Jabal Uhud.

Aidil Adha adalah Aidil Akbar (Raya Terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan dari neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah.

Tidak dilihat pembebasan dari neraka yang lebih banyak daripada pembebasan pada hari Arafah seperti yang disebut dalam hadis. Sesiapa yang telah dibebaskan, maka keesokannya adalah hari raya baginya.

Sekiranya tidak, maka dia berada jauh dari rahmat Allah dan dijanjikan dengan seburuk-buruk balasan.

Justeru, sementara kita masih diberi ruang dan kemampuan, marilah bersama-sama kita merebut peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semata-mata kerana kasih dan sayang-Nya terhadap kita.


Oleh: PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA
NEGERI SEMBILAN