Thursday, February 19, 2009

ILMU : Hak dan Kepentingannya


Sejarah telah membuktikan bahawa kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada sesuatu bangsa. Ini kerana ilmu akan mengangkat darjat seseorang atau sesuatu bangsa itu ke arah kemuliaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Kepentingan ilmu ini telah diakui sendiri oleh Rasulullah s.a.w melalui wahyu dan ilham yang disampaikan kepada baginda yang mana ilmu sangat penting untuk kemajuan sesuatu bangsa.

Ia juga terbukti dari ajaran Islam yang telah mengangkat begitu tinggi darjat ilmu. Dengan ilmu pengetahuan akan membawa manusia ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, memberikan kekuatan ketika dalam kesusahan dan ketika berhadapan dengan musuh. Ilmu agama atau ilmu yang terdapat dalam al-Quran dan Al-sunnah akan menjadi benteng yang dapat mencegah seseorang itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh syariat, dapat menolak kejahilan dan kebodohan sama ada dalam perkara agama atau dalam mengejar kebendaan duniawi. Pelbagai jenis ilmu yang dituntut seperti ilmu kejuruteraan, ilmu kedoktoran, ilmu pertanian dan sebagainya yang dapat membantu kemaslahatan hidup manusia di dunia.

Orang yang berilmu dapat mendekatkan dirinya dengan Allah kerana ilmu merupakan jalan menuju kebahagian di akhirat. Di antara kepentingan-kepentingan ilmu dapat dijelaskan di sini ialah :

1. Ilmu dapat membentuk keperibadian yang baik dan menjadikan seseorang itu bertaqwa dan cintakan Allah s.w.t dan RasulNya.

Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud : " Sesungguhnya yang takutkan Allah daripada hambanya ialah orang-orang yang berilmu" (al-Fathir:ayat 28)

2. Ilmu dapat meninggikan dan membezakan taraf dikalangan manusia.

Firman Allah yang bermaksud : " Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana" (al-Zumar : ayat 9)

3. Ilmu dapat mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan masyarakat.

Firman Allah yang bermaksud : "Allah mengangkat beberapa darjat orang-orang yang beriman dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan" (al-Mujadalah : 11 )

4. Dengan ilmu manusia dapat menjalankan tugas ibadah ( sama ada ibadah umum atau ibadah khusus) dan dapat melaksanakan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Peranan Ilmu dalam Merealisasikan Tugas Khalifah

Ilmu merupakan suatu alat yang penting untuk menjalankan tugas sebagai khalifah. Ilmu yang dititikberakan di dalam Islam aitu Ilmu Fardhu Ain kerana ilmu tersebut menusia dapat beribadat kepada Allah dengan sempurna. Di samping itu setiap manusia perlu mempelajari ilmu Fardhu Kifayah yang berhubung dengan politik, ekonomi, sosial dan sebagainya. Kedua-dua ilmu ini penting demi kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Ilmu berperanan merealisasikan tugas manusia sebagai khalifah kerana dengan ilmu manusia dapat melaksankan tanggunjawab-tanggungjawab seperti berikut :

a) Tanggungjawab terhadap Allah iaitu dengan beribadah kepadaNya.

b) Tanggungjawab terhadap diri iaitu dengan memeliharan hak-hak Diri, Agama, Maruah, akal dan harta.

c) Tanggungjawab terhadap Keluarga, Masyarakat dan Negara.

d) Tanggungjawab terhadap Alam iaitu amanah kekhalifahan untuk memakmurkan bumi serta lingkungan hidup ini. Alam yang dimaksudkan adalah segala kejadian yang ada di muka bumi ini termasuklah tumbuh-tumbuhan, haiwan, batu-batu, sungai, langit dan sebagainya.

Ilmu merupakan hak dan milik Allah s.w.t yang dikurniakan sebahagian sahaja dari ilmuNya kepada manusia bagi membolehkannya melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi. Ilmu yang sebenar ialah ilmu yang dapat membawa manusia untuk mengenali KhaliqNya.

InsyaAllah kita mampu menuju ke arah itu....


Suasana Ekspo Buku Antarabangsa Casablanca, Morocco 2009

Alhamdulillah...Kelmarin berkesempatan berkunjung ke Ekspo Buku Antarabangsa Casablanca 2009. Berkesempatan mengenali kitab-kitab daripada pengarang yang hebat. Walaupun masih tidak ramai yang diketahui namun proses pembelajaran itu bermula daripada "tidak tahu" kepada "tahu". Apapun perlukan usaha untuk sentiasa dekat dengan kitab-kitab dan menjadikan kitab-kitab sebagai sahabat yang paling akrab.


V2c bersama Khadijah~ sahabat baik kami di dalam sebuah kedai buku



Terserempak dengan rombongan kanak-kanak~ teringat zaman kanak-kanak dulu

Saya lebih fokus membeli kitab-kitab yang akan menjadi rujukan saya untuk semester ini. Semester ini lebih fokus kepada sejarah. Sirah Nabawiyah oleh Ibnu Hisham, Fiqh Sirah oleh Doktor Muhamad Said Ramadhan AlButhi, Tarikh Islam oleh Muhamad As-s-Solbi, Tarikh Adyan. Saya juga tertarik dengan sebuah kitab fiqh syafie, Al Wajiz fi fiqh al Imam As-Syafie oleh Muhammad bin Muhammad Abi Hamid Al-Ghazali.
Saya juga tidak melepaskan peluang membeli sebuah novel bahasa Arab. Percubaan pertama membaca novel bahasa Arab tajuknya "Al-3aidah" dan juga sebuah novel English yang menarik minat saya bertajuk Nedjma The Almond mengisahkan tentang kehidupan seorang gadis yang berasal dari perkampungan berber di afrika utara.

Tidak terasa detik-detik yang berlalu ketika berada di sana. Sedikit keletihan kerana terpaksa juga bersesak-sesak dengan rombongan kanak-kanak. (teringat zaman kanak-kanak dulu). Masih banyak kedai buku yang masih tidak sempat dikunjungi walaupun sudah kali kedua kunjungan ku ke sana. Mungkin juga kekurangan stamina menjadikan saya cepat letih. (Lepas ni kene la jogging setiap hari ni..). Saya dan sahabat-sahabat keluar dari Ekspo Buku Antarabangsa Casablanca dalam jam 5 petang. Di dalam fikiran saya pada masa itu " Alangkah bahagianya kalau rumah saya di depan masjid Hassan Thani ni.."

Kepada sesiapa yang masih belum ke sana cepat-cepatlah ya. Takut kehabisan stok. Seperti promoter pula. Jangan lupa bawa air mineral yang menjadi penyejuk di saat kehausan sebab di sana air mineral harganya agak mahal.

Dan saya mengigatkan diri saya dan juga sahabat-sahabat lain supaya tidak hanya pandai membeli tetapi jua mesti pandai untuk membaca. Sentiasa menjadikan kitab-kitab sebahagian dari hidup kita.

Teringat kata-kata daripada seorang penceramah ketika Spring Intelectual Village (SIV 2008). "Jika kita mahu ILMU itu milik kita maka letakkan ia di dalam dada, jika tercampak di tengah lautan sekalipun kita mampu untuk berbicara tentangnya dan mengingatnya dengan tepat tanpa perlu merujuk buku".


قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيْقًا إِلَى الْجَنَّةِ (رواه مسلم)

Sabda Rasulullah saw: Barangsiapa yang melalui suatu jalan untuk menuntut ilmu,

Nescaya Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga....... (Hadis Riwayat Muslim)




Wallahu a3lam..

Pendamba RedhaNya~~



No comments: