Dalam bulan Zulhijjah, Allah menganugerahkan masa-masa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah. Iaitu sepuluh hari terawal bulan Zulhijjah, Hari Arafah, Aidil Adha dan Hari Tasyriq.
Sesungguhnya, Allah SWT telah bersumpah dengan Fajar Aidil Adha dan 10 malam bulan Zulhijjah dalam surah al-Fajr ayat 1 dan 2:
Demi waktu fajar Aidil Adha; dan malam 10 Zulhijjah (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).
Kita maklumi, Allah tidak bersumpah dengan suatu perkara melainkan kerana kemuliaan dan kepentingan perkara tersebut. Allah telah menganugerahkan pada 10 malam terawal bulan Zulhijjah dengan kelebihan-kelebihan yang lebih besar dan hebat daripada malam-malam yang lain.
Banyak hadis yang menerangkan tentang kelebihan hari-hari ini dan kelebihan amalan yang dilakukan padanya.
Di antaranya, sebagaimana yang disebut di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat r.a bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Rasulullah SAW bersabda, “Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan kemudian dia syahid”. (riwayat al Bukhari)
Ulama berdalilkan hadis ini sebagai galakan atau sunat berpuasa pada sembilan hari daripada 10 hari terawal bulan Zulhijjah kerana puasa juga termasuk dalam kategori amalan soleh.
Perkara ini disebut oleh al Hafiz Ibnu Hajar r.a, Rasulullah SAW juga bersabda:
“Berpuasa sehari dalam bulan ini (hari yang ke-9) menyamai puasa 1000 hari dan sehari puasa pada hari Arafah menyamai puasa 10,000 hari”.
Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada dari hari-hari yang lebih dikasihi Allah untuk dipenuhi dengan ibadah kepada-Nya daripada 10 hari terawal dari bulan Zulhijjah; puasa setiap hari daripadanya menyamai puasa setahun, solat pada setiap malam daripadanya menyamai solat pada malam al-Qadar”.
Bahkan, disunatkan bagi orang yang mahu melakukan korban menahan dirinya terlebih dahulu daripada memotong kukunya dan mencukur bulu sama ada pada kepala, muka dan badannya. Iaitu, bermula dari masuknya bulan Zulhijjah hinggalah selesai melakukan ibadah korban.
Hal ini berdasarkan hadis Ummu Salamah, bahawa Nabi SAW bersabda:
“Apabila masuk hari yang 10 Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka jangan disentuh rambut dan kulitnya sedikitpun”.
Di dalam satu riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila kamu melihat anak bulan Zulhijjah, dan seseorang dari kamu mahu berkorban, maka hendaklah ditahan dari memotong rambut dan kukunya”.
Ini sebagai menunjukkan terbukanya pintu penerimaan Allah terhadap amal yang dilakukan pada hari-hari yang berkat ini, kerana Allah Yang Maha Mulia apabila Dia kasih atau suka kepada sesuatu, maka Dia akan menerimanya.
Kesimpulannya, maksud yang paling utama dari hadis ini, kita digalakkan melakukan amal yang disukai dan diredai Allah pada hari-hari tersebut, sekalipun amalan yang mudah dan tidak sulit untuk dilakukan.
Sekiranya tidak mampu untuk berjihad, berpuasa atau bersedekah, janganlah pula berasa lemah untuk melakukan ibadah yang lain seperti solat sunat, tasbih dan tahlil. Kadang kala amal yang sedikit dan mudah itu besar nilainya di sisi Allah dan lebih dikasihi-Nya.
Hari Arafah
Hari Arafah ialah hari para jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah. Ia terkenal sebagai kemuncak bagi segala amalan atau rukun haji.
Allah yang bersifat Maha Pemurah memuliakan dan membesarkan hari tersebut dengan mencurahkan rahmat dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang berdoa dan meminta keampunan kepada-Nya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada hari yang lebih banyak pembebasan dari neraka daripada hari Arafah”.
Justeru pada hari tersebut, kita amat digalakkan supaya memperbanyakkan doa dan istighfar. Daripada Abdullah ibn Amru r.a berkata:
“Kebanyakan doa Nabi SAW pada hari Arafah ialah “Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah; Yang Maha Esa tanpa ada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kekuasaan dan pujian. Di dalam kekuasaan-Nya segala kebaikan dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu”.
Di antara doa bagi memohon keampunan dan pembebasan dari api neraka ialah:
“Ya Allah! Bebaskanlah tengkukku daripada api neraka, luaskanlah untukku dengan rezeki yang halal dan palingkanlah (hindarilah) daripadaku jin dan manusia yang fasiq”.
Kita juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah kerana Rasulullah SAW bersabda:
“Puasa pada hari Asyura akan mengkafarahkan dosa setahun (sebelumnya). Manakala puasa hari Arafah, akan mengkafarahkan dosa dua tahun; setahun sebelumnya dan setahun selepasnya yang akan datang”.
Sebagaimana yang disebut di dalam hadis, bahawa Rasulullah SAW berdoa pada petang hari Arafah agar diampunkan dosa-dosa umatnya termasuk orang yang zalim. Apabila Allah memakbulkan doanya, Baginda SAW tersenyum kerana melihat iblis mengambil tanah lalu menaburnya di atas kepalanya sambil mengeluh panjang apabila mengetahui doa Baginda SAW dimakbulkan dan dosa-dosa umatnya diampunkan.
Aidil Adha
Solat hari raya merupakan khususiat/keistimewaan umat ini seperti solat istisqa’ (minta hujan) dan kusuf (gerhana matahari).
Di antara dua solat hari raya, solat Aidil Adha lebih afdal daripada solat Aidilfitri kerana terdapat nas dari al-Quran yang menyebut tentangnya, sebagaimana firman Allah SWT:
Oleh itu, kerjakanlah solat (Aidil Adha) kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). (al Kauthar: 2)
Dalil ini juga menunjukkan bahawa ibadah yang dituntut pada Aidil Adha bukan setakat ibadah jasad iaitu solat tetapi juga ibadah yang melibatkan pengorbanan harta iaitu melakukan korban.
Ibadah korban merupakan sunat muakkad bagi umat Islam dan makruh meninggalkannya bagi orang yang berkemampuan. Rasulullah SAW sendiri memberi amaran kepada orang yang enggan berkorban.
Ini sebagaimana sabdanya:
“Sesiapa yang mempunyai kemampuan untuk berkorban tetapi tidak berkorban, maka jangan hadir di tempat solat kami”.
Sesiapa yang melakukan korban pada hari tersebut, akan diampunkan dosanya dan ahli rumahnya pada titik pertama darah sembelihan korbannya.
Sesiapa yang memberi makan dan bersedekah dengannya, akan dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang yang mendapat keamanan dan timbangannya lebih berat daripada Jabal Uhud.
Aidil Adha adalah Aidil Akbar (Raya Terbesar) bagi umat ini kerana banyaknya pembebasan dari neraka atau pengampunan dosa yang dianugerahkan oleh Allah pada hari sebelumnya iaitu hari Arafah.
Tidak dilihat pembebasan dari neraka yang lebih banyak daripada pembebasan pada hari Arafah seperti yang disebut dalam hadis. Sesiapa yang telah dibebaskan, maka keesokannya adalah hari raya baginya.
Sekiranya tidak, maka dia berada jauh dari rahmat Allah dan dijanjikan dengan seburuk-buruk balasan.
Justeru, sementara kita masih diberi ruang dan kemampuan, marilah bersama-sama kita merebut peluang keemasan yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita semata-mata kerana kasih dan sayang-Nya terhadap kita.
Oleh: PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA
NEGERI SEMBILAN