Thursday, August 26, 2010

Tinggallah KENANGAN

16 Ogos 2010, 12.30am, atas awanan, 41J Egyptair...


Kepada: Akak Farah Wahidah Hayati Ariaff...


Tinggallah KENANGAN

Terasa sebak di dada
Tersurat perpisahan yang telah ditakdirkan
Bahagia dalam ingatan
Kisah silam terbayang di mata
Terbayang kisah bersama
Kita tawa bergurau senda

Kini tiba saat berpisah
Hiba hati terasa gundah
Kini tinggallah KENANGAN
Tak mungkin dapat dilupa
Semusim telah berlalu
Air mata mengiring restu


Adikmu, Noraini Binti Abdul Muaziz..

Aini..awak buat saya hampir menangis sepanjang penerbangan..Puisi dan surat awak tu..sangat berharga untuk saya..maaf kalau saya tak dapat jadi akak yang baik untuk awak..(maaf sebab dah banyak kali saya ulang ayat ni..)


Kata hati ini..Susahnya nak lepaskan tangan antunna semua...mengapa hati ini terus diikat dengan kemanisan ukhuwah itu..walau pun diri ini kadang-kadang lemah dan diuji untuk mengenal nilai sebuah perhubungan..

Hari yang saya hitung dahulu, kini sudah tiada lagi.

Saya sedar hidup ini adalah perjuangan.

Perjuangan di sana hanya tinggal kenangan yang akan menjadi kekuataan untuk saya meneruskan kehidupan mendatang yang penuh dengan cabaran.

Kepada sahabat seperjuangan Mie, Tiqah, Trexx.. Khabarkan khabar antunna bila berada di Malaysia nanti ya. Mungkin nanti agak susah nak berjumpa lagi.
Kepada adik-adik saya, Aini, Zaty , Naei..:) Jangan lupakan saya!

Saya sangat berterima kasih dan memohon maaf yang tidak terhingga kepada semua akak-akak senior saya yang banyak membantu dalam mengenal hidup berdikari dan berani. Sahabat-sahabat yang tidak pernah lekang dengan kata-kata semangat dan adik-adik junior yang tidak pernah kering dengan celoteh cerianya.

Shukran jazilan juga kepada ahli wilayah dan semua sentiasa membantu tanpa jemu sepanjang saya berada di sana..

"Andai maut pemutus ikatan, moga kita berjumpa di dalam jannah hendaknya"..inshaAllah, shukran my dear warkah comel itu~




Semoga Allah membalas jasa baik kalian dengan sebaik-baik balasan.inshaAllah..



26 Ogos 2010, Kaherah. Mesir.


Friday, August 20, 2010

Hari-Hari Yang Telah Pergi

..Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Alhamdulillah atas segala nikmat Mu Ya Allah..(^_^). Hampir seminggu sudah berada di Mesir.
SubhanaAllah, masih diberikan peluang bertemu sahabat-sahabat di sini. Merasai manisnya melalui hari-hari Ramadhan di sini. Cuaca yang panas benar-benar menguji kekuatan orang-orang yang berpuasa. Ma ajmala orang Mesir ini walau di mana sahaja berada, al quran tetap di sisi. Allahu Allah..

Sudah beberapa hari dilanda rindu pada Maghribi..

Hmmm..bila menghubungi mak..Kata mak, macam mana nie kalau rindu Morocco..abis tu nak balik ke Morocco balik ke atau nak balik Malaysia..

Kata saya, mesti la nak balik Malaysia...hee..

Cuma, semestinya Maghribi tetap di hati. 3 tahun yang berlalu itu terlalu cepat. MasyaAllah.. terlalu banyak kenangan memang susah nak lupa. Manisnya kenangan yang manis-manis dan tidak kurang juga banyak dugaan yang membuatkan saya lebih suka gunakan perkataan "BERTAHAN" dalam diri..Alhamdulillah a3la kulli hal..:)

Antara gambar-gambar terakhir..5 ogos 2010 :)

Terima kasih yang tidak terhingga kepada mak dan abah..abang2 dan adik....terima kasih atas kasih sayang yang tidak pernah berkurang..
Terima kasih kepada sahabat-sahabat atas ucapan dan hadiah:) kepada adik-adik..aini dan izzaty yang bersusah payah masak-masak..Kepada semua..Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik balasan..








Monday, August 2, 2010

Musafir Lalu

Masjid Al-Qurawiyyin, Fes, Maghribi


Musafir lalu itu mencari CINTA NYA
Musafir lalu memuji-muji KEBESARAN NYA


Kembara jiwa di bumi Ilahi
Kembara jiwa mengenal diri
Kembara jiwa ini mencari semangatnya yang hilang


Moga terik mentari membakar kekalutan dulu,
Biar terbang di bawa angin luka itu,
Moga basah jiwa-jiwa ini dengan MAWADDAH kerana MU,
Ukhuwwah yang terpatri biar megah berdiri seperti kukuhnya tembok kota ini,
Kisah kota lama yang tak sepi ditelan masa,
Seperti kisah suka duka kita bersama,

Ku percaya yang ikatan ini tidak akan terputus,
Sentiasa mengalir dalam sungai hati kita,


Bukan perpisahan itu yang ku takuti, Aku terlalu takut diri ku hilang dalam bisikan doa-doa mu sahabat..


22-07-2010
FES, MAGHRIBI


Thursday, July 15, 2010

Merasai manisnya IMAN





قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ اْلإِيْمَـانِ: أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يَلْقَى فِى النَّـارِ

Sabda Rasulullah SAW.: “Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api”.
(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)

1) Mencintai Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya.
2) Mencintai seseorang itu semata-mata kerana Allah.
3) Membenci kekufuran dan kemaksiatan.

Kemanisan Iman..

Kekayaan seorang mukmin yang paling mahal dalam kehidupan ini adalah manisnya iman kepada Allah SWT. Jika kita memilikinya, sekalipun kita miskin harta, pangkat, dan segala kemewahan dunia, hakikatnya kita memiliki segala-galanya dalam kehidupan ini. Sebagaimana pengalaman Nabi Yusuf As.

Yusuf berkata: "Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh." (QS. Yusuf (12) :

Sebaliknya, meskipun dunia dan seisinya berada di dalam genggaman kita, tetapi kita faqrul iman (miskin iman), maka sejatinya kita tidak memiliki apa-apa kerana kita tidak mampu merasai dan menikmati nikmat kehidupan ini. Dunia yang luas yang tidak bertepi ini terasa sempit. Dunia yang terang benderang ini terasa gelap gelita. Orang beriman sekalipun miskin harta, tetapi memiliki kekayaan jiwa (ghinan nafsi).

Oleh kerana itu kita harus berjuang tanpa mengenal lelah, dengan tenaga, fikiran, potensi yang kita miliki untuk mencapai manisnya iman (
halawatul iman). Betapapun tinggi gunung kita daki, lautan yang tidak bertepi kita harungi, semua untuk memperoleh kenikmatan spiritual (lazzatur ruhi), yang diserap dari iman itu. Kerana, di tengah-tengah perjuangan itu Allah SWT akan menggantinya dengan dua syurga. Syurga di dunia dengan kehidupan yang bahagia (hayatun thayyibah) dan syurga di akhirat, selamat dari siksa neraka.

Kita sering tertanya-tanya mengapa kita terasa kosong dalam hidupan ini. Dan mengapa sering diselubungi perasaan bosan, jemu, risau dan bimbang dalam hidup ini?

Kita sentiasa berusaha memenuhi taklifan dan kewajipan sebagai khalifah di bumi Allah ini dengan ibadah dan ketaatan kepada Allah..

Namun..

Mengapa kita masih tidak mampu merasai manisnya nikmat iman itu.

Dekatkanlah diri dengan Allah SWT di saat lapang, maka Dia akan mendatangimu ketika sempit (Hadits Qudsi).

Saturday, June 19, 2010

Kembali..




I said: "O Messenger of Allah, tell me something about Islam which I could not ask anyone about save you." He answered: "Say: 'I believe in Allah', and then stand firm and steadfast."




Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang...

Lama sudah farahimani ini sepi..

Sepi tanpa bicara..

Maaf kepada semua..

Bukan mahu menyepi..

Keadaan kadang-kadang yang mnjadikan kita lebih untuk diam tanpa bicara..

Apapun Alhamdulillah..

Masih merasai indahnya dunia pinjaman ini..

Berbulan bulan tidak dikemaskini..

Sesal juga dalam hati ini..

Saya perlu belajar lebih tentang hikmah ISTIQAMAH..

Istiqamah dalam apa jua yang kita lakukan..

Indahnya hidup jika mampu memahami nilai ISTIQAMAH..

Insan yang hebat itu adalah mampu istiqamah dalam amal kebaikannya..

Sedikit dan istiqamah itu lebih baik daripada banyak tapi bermusim..

Semua orang mampu cakap macam ni kan, tapi bila nak praktikan..susah2..

apapun doakan saya istiqamah dalam menulis..






Monday, March 29, 2010

Award Top Blogger 2010 And Netball Match??


AWARD: TOP BLOGGER 2010
Shukran kepada bekas classmate saya merangkap juga kawan blogger saya. Hanif..http://handrifter.blogspot.com
Saya bukan orang yang hebat dalam menulis.
Saya akui terlalu banyak kelemahan dalam penulisan saya,
Saya cuba untuk memberikan sesuatu yang mampu untuk dimanfaatkan semua.
kadang-kadang saya rasa laman "farahimani" , tempat saya menumpang rasa dan jiwa.
Saya masih memperlajari metod penulisan yang lebih baik
dan menyampaikan apa yang termampu dan terdaya,
Kadang-kadang saya takut untuk menulis.
Kadang-kadang menulis ini memberikan saya perasaan untuk bersemangat.
Bersemangat untuk berkongsi dan mengamalkan apa yang dipelajari dan yang cuba disampaikan.
Saya masih lagi kaku dalam menulis dan mengharapkan sokongan dan kritikan membina daripada semua pembaca.
Terima Kasih kerana sudi membaca laman "farahimani" ini.
semoga Allah memberkati kita semua InshaAllah...
Terima kasih sekali lagi buat pemberi anugerah..
Menjadikan saya rajin untuk menaip hari ini..^_^
Walaupun saya sedang demam dengan bersukan di cuti musim bunga ini.

SUKMANEKA 2010
Netball Match tadi memang betul-betul membuatkan saya teruja untuk bermain bersungguh-sungguh, Setahun sekali baru boleh meluangkan masa untuk bermain sukan yang diminati. SUKMANEKA 2010 yang dianjurkan oleh persatuan. Mengubat rindu saya untuk menyentuh bola oren itu. Mungkin ini yang terakhir untuk saya bermain bersama-sama sahabat-sahabat dan adik-adik junior di Maghribi. Sungguh.. Pasti saya akan merindui saat-saat ini. Walaupun hanya naib johan sahaja tadi, saya dan pasukan BIRU BERSATU tetap bersyukur. InshaAllah masih berbaki sukaneka dan malam kebudayaan. Untuk pertandingan BERCERITA,( opss..saya masih tak bersedia). Saya akan menyampaikan kisah srikandi islam Nusaybah Bint Kaab inshaAllah. Doakan saya berjaya mengheret perasaan penonton untuk menghayati kisah ini. Semoga kumpulan kami berjaya. BIRU BERSATU!!

Walaupun kalah untuk final Netball Match tadi. Terubat rasa lepas dapat award..(^_^)

Wednesday, March 17, 2010

Adab-Adab Bergurau




Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Allahumma Solli a3la Muhammad wa A3la Wasohbihi Wasallam.
Selawat dan Salam buat Junjungan Tercinta.


Sekadar ingin berkongsi peringatan ini bersama sahabat-sahabat sekalian. Semoga mendapat manfaat dan petunjuk daripada Allah SWT. Muslim yang sejati adalah muslim yang sentiasa menjaga Iman dan Taqwanya. Islam itu hadir bagaikan cahaya yang menerangi alam yang gelita. Islam datang dengan kekuatan dan kebenaran aqidah. Islam juga mengajar kita untuk berakhlak mulia.Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW
di utuskan untuk menyempurnakan akhlak manusia.Dan Rasulullah SAW merupakan sebaik-baik contoh insan yang mempunyai akhlak yang terpuji. Saya tergerak hati untuk berkongsi sedikit maklumat tentang adab bergurau. Seringkali kita tergelincir ketika melafazkan kata-kata dan berbicara dalam kehidupan seharian kita.
Kita juga pasti tidak terlepas daripada bergurau senda dengan warna-warni situasi bersama insan-insan di sekeliling kita. Apapun sahabat, jangan sampai kita terlepas pandang kerana dengan sepatah pun kita mampu merubah semuanya.

ADAB-ADAB BERGURAU

Berhati-hatilah ketika bergurau...


  • Janganlah bahan gurauan mengandungi nama Allah, ayat-ayatNya, RasulNya. Firman Allah SAW: Dan jika kamu tanyakan kepada mereka tentang apa yang mereka lakukan, tentulah mereka menjawab, Sesungguhnyakami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main sahaja. Katakanlah Apakah dengan Allah, ayat-ayat Allah dan RasulNya kamu selalu berolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman. (At-Taubah:65-66)
  • Jangan sampai gurauan itu mengandungi dusta mahupun mengada-adakan cerita supaya orang lain tertawa. Rasulullah SAW bersabda: Celakalah bagi orang yang berbicara lalu berdusta supaya dengannya orang banyak jadi tertawa. Celakalah baginya dan celakalah. (HR: Ahmad)
  • Jangan sesekali mengandungi unsur menyakiti perasaan seseorang. Rasulullah SAW bersabda: Janganlah seseorang di antara kamu mengambik barang temannya. Apakah itu hanya gurau atau sungguh-sungguh dan juka ia telah mengambil tongkat temannya, maka ia harus mengembalikan kepadaNya. (HR: Ahmad dan Abu Daud)
  • Jangan bergurau terhadap orang yang lebih tua atau terhadap orang yang tidak biasa bergurau atau tidak dapat menerimanya atau terhadap perempuan dan lelaki yang bukan mahram.
  • Janganlah memperbanyakkan gurauan sehingga menjadi tabiat kerana boleh menjatuhkan wibawa yang mengakibatkan mudah dipermainkan oleh orang lain.
Waallahu Ta3la A3lam..

Sekiranya sahabat mempunyai pandangan, penambahan serta perkongsian tentang post kali ini, silalah berkongsi di sini. InshaAllah semoga mampu memberi manfaat kepada insan lain dan dikira sebagai ibadah inshaAllah.
   

Tuesday, March 16, 2010

Senyuman Bintang Hati



Dengan Nama Mu yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang,
Selagi jantung ini berdenyut selagi itu tidak pernah hilang nama Mu dalam hati ini.
Mengalir segala nikmat yang tidak pernah henti.
Semoga Allah meredhai segala gerak geri dan tiap butir bicara.


Dari kejauhan ini, ku merasai senyuman bintang hati yang tidak putus-putus. Bahagia sekali jika saat ini daku mampu bersamamu. Terlalu rasa terharu tatkala teringatkan kata-kata bintang hati yang daku tetap ada dengannya walaupun jasadnya di sini. Sedih.

Bintang hati saya merupakan teman rapat saya. Melalui saat-saat membesar bersama. Dia amat ringan tulang dan tidak pernah merungut kalau saya mahukan pertolongannya. Sering bersama ke mana sahaja. Membesar bersama-sama, jadi kami ke sekolah bersama-sama, masih segar lagi di pagi hari yang masih gelap sudah mula mengorak langkah dengan ceria. Pulang ke sekolah juga bersama-sama. Dia akan terpacak menanti saya di pintu pagar. Kalau jalan kaki pulang dari sekolah pasti geraikeropok lekor itu persinggahannya. Saya dihadiahkan sebuah basikal kerana cemerlang di dalam kelas. Yang seronoknya mak abah pun belikan sekali untuk dia. Bertambah pula tempat persinggahan kami selepas sekolah. Mengulangkaji pelajaran pun bersama-sama. Kalau di sekolah dia amatlah pendiam tapi sebenarnya di rumah, selalu sahaja bercakap tanpa henti dan kacau kakak dia tak henti-henti. Ketika saya masuk sekolah menengah, saya sedih sebab berjauhan dengan keluarga dan semestinya teman rapat saya di rumah a.k.a bintang hati saya.

Dia antara yang paling lama duduk bersama emak dan abah. Dia tidak masuk sekolah berasrama selepas UPSR walaupun mendapat tawaran, abah kata nanti emak tiada teman di rumah. Dia tabah sahaja walaupun sebenarnya dia cemburukan kami yang dilepaskan emak dan abah untuk duduk di sekolah berasrama. Kalau saya pulang dari asrama di hujung bulan, dia adalah orang yang paling gembira. Sebab dia tahu yang saya akan belikan sesuatu untuk dia. Emak pula pasti bercerita tentang dia pada kami adik beradik. Kata emak dia anak yang paling rajin. Cemburu juga dalam hati ini.

Semasa dia berjuang di dalam peperiksaan PMR. Saya sempat belikan dia buku latihan untuk semua subjek sebelum terbang ke benua Afrika ini. Dan paling menyedihkan dia tidak dapat menghantar saya di KLIA kerana terpaksa menghadiri Program Khas PMR. Hanya SMS kata-kata semangat daripada dia saya terima. Terima kasih bintang hati ku.
Selepas mendapat keputusan yang memberangsangkan di dalam peperiksaan PMR. Emak dan Abah pun dengan rela hati melepaskan dia. Kalau diikutkan tidak mahu berjauhan dengan dia. Namun, rezeki dia mendapat tawaran di sekolah berasrama penuh yang tidak berapa jauh daripada rumah.

Dia agak janggal berada di sekolah berasrama penuh. Katanya pelajar-pelajar semuanya pandai-pandai dan agak tinggi diri. Tinggi diri?? Mungkin dia tidak biasa dengan suasana sedemikian dan seringkali berasa rendah diri. Saya selalu pesan pada dia untuk sentiasa positif dan rajin untuk ulangkaji.

Tahun 2008, saya berkesempatan untuk pulang ke Malaysia. Dia antara yang paling gembira. Saya sempat juga bantu dia di dalam beberapa subjek yang masih mampu saya ingat. Saya gembira. Saya selalu pesan yang kita kena belajar bersungguh-sungguh. Biarkan kita tidak kaya dengan harta benda tapi biarlah kaya dengan ilmu dan akhlak. Kita adalah harta untuk kedua ibubapa kita. Jangan dipersiakan pengorbanan mak dan abah.

Saya sangat gembira bila dia berjaya masuk ke program persijilan DQ. Dan luahan hebat pagi itu mencelikkan mata hati ini. Dia semakin matang menilai apa itu erti perjuangan dan hidup.

4am waktu Maghribi. Saya terima SMS ringkas daripada abang Alauddin "Jangan lupa wish adik, hari ini keputusan spm keluar, adik dapat.....". Saya terus menangis gembira. Tidak lama kemudian SMS dari adik pula masuk ke dalam peti inbox. Selepas subuh, saya cuba menghubungi dia. Dia gembira dan bersyukur tapi sedikit sedih katanya. Apapun saya amat berbangga dengan bintang hati saya. Sekadar bertanyakan jika dia mahu mohon mana-mana biasiswa untuk keluar negara. Katanya perjuangan di Darul Quran pasti akan diteruskan. Saya terharu dan pasti mak dan abah pun begitu.

Pesanan untuk Bintang Hati:
Dunia adalah persinggahan sementara yang penuh dengan mehnah dan tribulasinya. Kita tidak mahu terpedaya dengan kejayaan dunia semata-mata. Jadikan kejayaan ini sebagai hadiah Allah atas usaha keras adik. Semoga dengan kejayaan sedikit ini memberikan adik semangat untuk terus berusaha dan meletakkan segala kebergantungan hanyalah pada Allah. Kejarlah dunia untuk mendapat kemenangan di hari akhirat. Semoga Allah berikan kita semua petunjuk dan hidayah untuk berada di atas jalan yang lurus dan benar. Tiada istilah rehat di dalam perjuangan dan semoga kita mampu memperoleh istirahah di JannahNya. InshaAllah

Bintang hati saya adalah adik saya...
Dia juga permata hati mak dan abah saya..
Dia putera bongsu keluarga yang semakin membesar dan semakin matang mengenali dan menilai dunia.
Dan saya mesti sedar yang adik sudah besar dan tidak perlu lagi terlalu risau tentangnya.


Merindukan bintang hati...
Jutaan tahniah kerana memberikan kegembiraan kepada mak dan abah dan juga kami semua adik beradik. Kami gembira memiliki adik yang soleh macam adik. Teruskan berusaha di dalam bidang pelajaran dengan tidak melupakan dunia yang kekal di sana. Kami sentiasa menyokong dan membantu adik dalam apa jua yang adik lakukan.



Adik Amar Adli Bin Ariaff

Maaf untuk posting kali ini. Bukan mahu mempromosikan diri. Sebaliknya sekadar mahu berkongsi rasa, perasaan syukur dan gembira.






Saturday, March 6, 2010

Kembalikan Diri


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Ya Rahman Ya Rahim
Semoga Allah meredhai dalam setiap patah yang cuba dikongsi dan dengan nama Mu ya Allah ku pohon sentiasa diberikan petunjuk kepada diri yang lemah ini dan kami yang ingin kembali kepadamu dengan sebenar-benarnya inshaAllah..

Sepi farahimani seketika. Terasa agak kaku untuk kembali menulis. Kekusutan pengurusan masa dan konflik diri yang ku cuba seimbangi. Menikmati hari-hari yang dilalui dengan penuh rasa kesyukuran walaupun kadang-kadang didatangi jiwa-jiwa pelik yang memang amat sukar untuk difahami. Misi mengawal keadaan untuk menjadi lebih stabil. Menyelamatkan sesuatu yang seperti sudah mahu hilang.

Hidup ini bukanlah semudah yang difikirkan. Sememangnya ku mahu mengerti dan memahami apa itu erti sebenar sebuah perjuangan. Musafir ilmu dalam mencari hakikat diri dan memahami erti sebenar sebuah kehidupan sebagai seorang hamba dalam mencari hakikat perhambaan diri untuk penciptaNya dan mengenali Tuhan Nya. Sesungguhnya keredhaan Allah itu adalah matlamat hidup yang didambakan oleh semua insan. Apalah erti hebat di pandangan manusia tapi kosong di hadapanNya.

Sesungguhnya setiap sesuatu itu bermula dengan niat. Niat yang baik maka natijahnya juga akan baik dan juga sebaliknya. Kita akan memperoleh apa yang kita niatkan dan hajatkan dengan kehendakNya. Seperti juga meletakkan matlamat, kerana itu juga merupakan niat. Maka dengan meletakkan sesuatu matlamat itu sebenarnya paksi utama apa yang dimahukan dan dikecapi.

Rasuluallah SAW bersabda: "Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang akan mendapat berdasarkan apa yang di diniatkan...." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam meletakkan matlamat dalam hidup ini sebenarnya, kita harus sentiasa berwaspada supaya dalam apa jua yang kita lakukan, kita mahu mendapat manfaat di dunia dan yang lebih penting untuk akhirat.

Seringkali manusia terlupa akan akhirat. Walaupun perkhabaran itu jelas dan pasti. Jelas dengan prinsip sebagai seorang muslim yang berpegang teguh dengan rukun yang islam yang lima dan rukun iman yang ke enam. Namun keindahan dunia terlalu memperdayakan. Sehingga terhijab memandang akhirat yang abadi di sana.

Dengan itu, sentiasalah mentajdidkan niat kita. Agar apa yang mahu kita kecapi dan genggam tidak sia-sia. Kita mahu matlamat yang jelas dan yang paling penting mendapat keberkatanNya

"Niat itu jangan dipisahkan dengan IKHLAS"

Daku ingin IKHLAS untuk sentiasa bertakhta dalam apa jua keadaan kerana dengan keikhlasan itu adalah perlambangan kesungguhan malah membuktikan kecintaan dan ketaatan abadi untuk PenciptanNya. Ikhlas tidak akan hadir ke dalam hati yang kotor. Martabat ikhlas itu hanya pada hati-hati hamba yang benar-benar mahu kembali sepenuhnya kepada TuhanNya.

Sesungguhnya apabila pergerakan hati telah sejahtera maka sejahteralah pergerakan anggota tubuh badan. Apabila hati telah sejahtera maka tiada di dalamnya melainkan kehendak (iradah) dan iradah yang dikehendakiNya. Tidak akan bergerak anggota ini melainkan kepada apa yang dikehendaki oleh Allah. Oleh itu hamba itu akan bersegera menuju redhaNya dan menjauhi apa yang dimurkaiNya. Dan juga menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh dirinya terjatuh ke dalam perkara dimurkaiNya sekalipun dia tidak yakin dengan keadaan tersebut.


" Allahumma Inni Asaluka Qalban Saliman"
Ya Allah, aku memohon kepadamu hati yang sejahtera

Allahu Ta3ala A3lam...

Saturday, January 2, 2010

Kisah dirimu ikhlas dari hatiku..



Kisah dirimu ikhlas dari hatiku..

SELAMAT HARI LAHIR SAHABAT



Naz, Mar, Birthday Girl, Tas
Gambar: Januari 2006

Dia yang saya kenali:
+ Dilahirkan di Hospital Kuala Pilah N.Sembilan.
+ Tinggal di Kampung Padang Lebar.
+ Bakal Doktor Sakit Puan Katanya..InsyaAllah. Memang cita-cita dari zaman sekolah lagi.
+ Nampak Pendiam tapi Sebenarnya Banyak Cakap. Kalau berborak mesti tidak sedar sudah berjam-jam.
+ Tindak tanduknya Matang.
+Sering Jadi Tempat Rujukan, bukan sahaja masalah pelajaran malah apa sahaja.
+ Minat Sukan Bola Jaring. Posisi GD.

Perkara yang paling saya rindu dengan Dia:
+ Rindu nak dengar kata-kata dan nasihat dari dia.
+ Sesi luahan perasaan dan matlamat hidup.
+ Batuk kecil-kecilan dia. Macam ngada-ngada je bunyi batuk tu.
+ Main bola jaring. Saya dan dia suka baling bola itu dengan tahap kelajuan yang maksima dan sambut bola tu.
+ Rindu nak study dengan dia. Sebab dia memang cepat menghafal dan dia sedia nak tunggu saya sampai saya dapat hafal. Penyabar betul.
+ Menghabiskan waktu di surau bersamanya.

Kenangan bersama semuanya telah berlalu. Namun kenangan itu masih hidup dan ingin sahaja untuk hidup dalam kenangan itu. Terlalu indah untuk ku kenang. Ya saya akui yang dia antara yang terlalu istimewa. Kadang-kadang hari yang ku lalui di sini sering bayangkan dia ada di sisi.

KHAIRUN NAJWA BT ADNAN

Sahabat..
Tiada hadiah yang lebih ikhlas melainkan doa,
Semalaman aku fikirkan ayat-ayat indah buatmu
Namun hanya kalimah-kalimah kitab kuliah ku
terpaksa ku hadam.
Najwa..
Pernah aku berjanji dalam diri untuk sentiasa ada di sisi untukmu
Namun, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita
Ketahuilah yang dalam setiap doaku terlintas sahaja wajah dan namamu
Semoga Allah sentiasa memelihara mu.
Mengurniakan yang terbaik untukmu
Bertabahlah sahabat dalam apa jua keadaan
Bersyukurlah dengan segala nikmatnya.
Najwa..
percayalah pada dirimu
mampu melakukan yang terbaik
Lihatlah bulan itu..
keyakinan yang kau mampu menjadi purnama yang
menerangi buana gelita di malam sepi.







Pertemuan terakhir -Ogos 2008-


Semoga ada peluang dengan izinNya untuk bertemu lagi...