Wednesday, February 23, 2011

Ku Sampaikan Salam Pada Angin

Assamualaikum wbt..

Apa khabar jiwa-jiwa yang yang sedang menikmati hidup?

Semoga Allah kurniakan kita keberkatan dalam setiap apa yang kita lakukan.

Ada jiwa yang leka tersenyum hari ini.

Sampai ada yang tertanya-tanya mengapa asyik sahaja si dia itu tersenyum.

Sebenarnya..

Alhamdulillah jiwa ini sangat gembira bilamana mendapat berita adik-adik junior di Morocco berjaya di dalam peperiksaan semester ke 3.

Shukran Jazilan Naeilah yang bersusah payah menaip emel untuk saya.

Tahniah saya ucapkan dan jangan berhenti berusaha ya adik-adik. Jangan lupa sujud syukur.

Tingkatkan prestasi dan teruskan tradisi study group dengan kawan-kawan arab.
Berusahalah sehabis baik untuk diri, insan-insan tersayang dan yang paling penting untuk Islam.

Tunjukkan contoh yang baik untuk adik-adik junior.

Pada angin bayu ku sampaikan salam sayang dan setinggi-tinggi tahniah buat semua... Walaupun antunna jauh tapi ketahuilah.. sentiasa dekat di hati ini..


Bila rindu itu datang, saya tak akan sedih lagi..
Sebab saya belajar untuk terus tersenyum..

Belajar menikmati hidup sementara yang Allah kurniakan tanpa mempersiakannya.

Untuk Naeilah Sayang...

Maafkan saya sebab tersalah taip nama awak:) Ni gambar masa kita main salji. Pengalaman kali pertama saya masuk balai polis bersama antunna semua. Masih segar diingatan tingkah keterujaan naei dan semua ketika lebatnya salji turun. Indah untuk dikenang..

Untuk Izzaty Sayang...

Gambar masa kita sama-sama masuk pertandingan tajwid di universiti. Kali pertama Ayyam Thaqafi universiti bersama-sama adik-adik junior. Saya tak ada gambar yang sesuai di dapur ketika kita sama-sama memasak. Walaupun nampaknya semakin banyak kek yang cantik-cantik yang antunna hasilkan selepas ketiadaan saya, tapi bagi saya kueh talam pisang awak lah yang paling cantik:)

Last but not least..

Untuk Aini Sayang..

Gambar ni, adalah kali pertama antunna jejakkan kaki di Masjid Hassan Thani kan. Kali pertama saya membawa adik-adik junior jalan-jalan menaiki bas raqam 60. Masa itu dalam hati, saya yakin yang antunna akan lebih mahir dengan tempat-tempat di Casablanca dan menjadi lebih berani untuk berdikari di tempat orang.

Kini...

Kehidupan baru saya sebagai sukarelawan dakwah, di Pejabat Agama Islam Daerah Jempol..Jangan lupakan saya dalam setiap doa antunna semua..

Oh Angin lalu..sampaikan salam rindu ini:)

Tuesday, February 22, 2011

Air Mata Dan Senyum Itu


Jadikanlah....

Air mata itu..

Pembersih segala kedukaan..

Kerana di situlah tempatnya

Kita tancapkan usaha lebih gigih

Dan keyakinan yang unggul....



Jadikanlah...

Senyum itu..

Pendorong memolekkan pekerti diri...

Agar kekal di landasan mahmudah

Yang diberkati

Alirkan air mata keranaNya

Senyuman keikhlasan keranaNya

Kerana Kita HAMBA kepercayaan Nya..



Sunday, February 20, 2011

Bila Lidah Terlebih Bicara


"Ketenangan itu bila hati sentiasa ingat kepada Tuhan"


Firman Allah dalam surah Ar-Ra’du ayat 28

Maksudnya :
Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati.



Assalamualaikum Wbt..

Kita mahukan ketenangan namun ada sahaja resah menyelubungi jiwa.

Dosa yang hitam dan kelam itu yang sering memalitkan kita dengan resah gelisah.

Kerana kita yang sering terpedaya..

Nampaknya ikhlas memperjuangkan islam agama suci.

Semangatnya bagaikan seorang pahlawan bertempur di medan jihad.

Ya Allah..thabatkan hati pejuang-pejuangmu yang berusaha demi agama Nya.

Namun tanpa disedari sebenarnya..

Kita sering terpedaya dengan perhiasan-perhiasan iblis yang mudah menjerumuskan kita dalam kehitaman dosa.

Kata Imam Ibnu Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis.

"Antara perhiasan iblis terhadap kemungkaran ialah apabila manusia tidak suka kepada seseorang yang melakukan kemungkaran, maka dia akan menceritakan dan mengutuk orang yang melakukan kemungkaran dan melaknat mereka"

Walaupun tanpa kita sedar. Kita sering mengaibkan seseorang itu di hadapan khalayak ramai. Mana tidaknya, lancar sahaja lidah menyebut nama individu tersebut malah sempat lagi menyebut saudara mara untuk mencerahkan lagi siapa si pelaku kemungkaran.

Kisahnya tampak mudah dan indah...

Namun..

Siapakah kita yang layak menghukum dan melaknat seseorang pelaku kemungkaran itu sesuka hati?

Tambah Imam Ibnu Al Jauzi..

" Boleh jadi kaum itu telah bertaubat dan menjadi lebih baik daripadanya kerana mereka menyesal sedangkan dia (orang yang mengutuk dan melaknat) dengan sifat takabburnya. Termasuk dalam perbahasan ini ialah mendedahkan kecacatan muslimin kerana dia memberitahu orang tentangnya. Menutup keaiban seorang muslim itu adalah wajib walau apa keadaan sekalipun"


Kita perlu menjadi pejuang yang gagah melangkah berani di medan penuh tipu daya.

Ini tipu daya iblis yang sering mengaburi keikhlasan pejuang-pejuang agama Nya.

Jangankan kerana kepetahan berbicara menjadikan kita tergelincir pada batas yang sebenarnya. Lantas menjadikan kita terbelenggu dalam dosa.

Perbanyakkanlah muhasabah dan memohon keampuanan daripada Allah.

Sekadar peringatan buat diri dan sahabat-sahabat semua.

Wallahu ta3ala a3lam.