Tuesday, September 13, 2011

Cita-Cita Dan Cinta Nya


Bismillahirrahmanirrahim...


Kita sentiasa merancang hidup ini dengan CITA-CITA
Lalu kecewa jika tidak tercapai
mungkin kita terlupa..
Sesungguhnya Allah sentiasa
merancang hidup kita dengan
CINTA NYA...

Allahu Allah..sejauh mana cinta kita pada Nya??

Wednesday, March 23, 2011

Operasi Unit penguatkuasa : Seksyen 78, minum minuman memabukkan



Operasi bersepadu yang diadakan sungguh mengujakan saya untuk turut serta. Walaupun asalnya saya teragak-agak untuk membuat keputusan untuk turun bersama-sama menyaksikan operasi bersepadu ini.



Sebenarnya memang sudah berjanji dengan keluarga untuk pulang ke kampung bersama abang dari Ulu Langat untuk berhujung minggu bersama keluarga. Jadi saya terpaksa mengambil keputusan untuk tidak pulang bersama abang pada hari Jumaat tersebut dan menelefon keluarga untuk memaklumkan yang saya akan menyertai operasi unit penguatkuasa ini.



Sejujurnya memang sangat gementar (walaupun hanya menjadi pemerhati operasi). Ahli unit penguatkuasa PAID Jempol terdiri daripada Ustaz Shahizat, Ustaz Ab Halim, Ustaz Azam dan yang akhawatnya, Shakilla.



Kami bertolak daripada pejabat agama, jam lebih kurang 6.30pm. Di dalam kenderaan, Ustaz Ab Halim memberi sedikit penerangan tentang operasi malam tersebut mengenai tangkapan seksyen 78, minum minuman yang memabukkan dan juga penerangan peranan setiap seorang daripada kami. Sungguh teruja saya dibuatnya. Berdebar-debar hati ini. Entah, mungkin pengalaman pertama dan banyak sangat gambaran tentang apa yang akan berlaku. Sejuk yang menyelubungi diri. Hujan renyai petang hari itu semakin reda. Hati yang gundah menjadi sedikit tenang usai solat Maghrib.



Sasaran pertama tempat operasi hari tersebut ialah di kawasan Felda. Nama tempat secara spesifik terpaksa dirahsiakan. Sememangnya kawasan tersebut telah seminggu dijalankan risikan oleh unit penguatkuasa. Setiap selok belok jalan sudah dihadam oleh mereka. Kagum saya dibuatnya. Kenderaan kami yang akan mendahului kenderaan-kendaraan lain di dalam operasi ini.



Ustaz Shahizat dan Ustaz Azam bertindak sebagai perisik. Menyamar sebagai pelanggan yang mahu membeli rokok di kedai runcit yang dikenal pasti menjual minuman beralkohol. Di bahagian belakang premis yang lengkap dengan kerusi dan meja yang dikenalpasti sebagai "port minum arak". Sememangnya dikenalpasti beberapa penduduk tempatan yang berbangsa Melayu dan pastinya mereka adalah ISLAM.



Selepas 5 ke 10 minit pemerhatian yang teliti, termasuk meneliti kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku ketika proses penahanan. Contohnya lorong-lorong atau kawasan-kawasan yang membolehkan pesalah atau Orang Kena Tuduh (OKT) dapat meloloskan diri.



Akhirnya tempat tersebut diserbu pantas oleh kumpulan unit penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan juga IPK Seremban.



Kesemua OKT yang jumlahnya hampir 10 orang dibawa ke Balai Polis berhampiran. Satu lagi pengalaman baru, pengalaman masuk ke dalam balai polis dan melihat sendiri betapa cemasnya OKT yang diwajibkan menghadirkan penjamin-penjamin untuk membebaskan diri sebelum dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah.



Untuk operasi kedua yang dijalankan pada malam tersebut juga secara tiba-tiba dimaklumkan oleh ketua operasi, satu kumpulan memerlukan seorang untuk bahagian dokumentasi. Ini bermakna, saya yang asalnya bertindak sebagai pemerhati dengan rasminya menjadi salah seorang anggota yang terlibat untuk operasi serbuan pada malam itu.


Degupan jantung ini menjadi semakin kencang..


Bersambung….

Wednesday, February 23, 2011

Ku Sampaikan Salam Pada Angin

Assamualaikum wbt..

Apa khabar jiwa-jiwa yang yang sedang menikmati hidup?

Semoga Allah kurniakan kita keberkatan dalam setiap apa yang kita lakukan.

Ada jiwa yang leka tersenyum hari ini.

Sampai ada yang tertanya-tanya mengapa asyik sahaja si dia itu tersenyum.

Sebenarnya..

Alhamdulillah jiwa ini sangat gembira bilamana mendapat berita adik-adik junior di Morocco berjaya di dalam peperiksaan semester ke 3.

Shukran Jazilan Naeilah yang bersusah payah menaip emel untuk saya.

Tahniah saya ucapkan dan jangan berhenti berusaha ya adik-adik. Jangan lupa sujud syukur.

Tingkatkan prestasi dan teruskan tradisi study group dengan kawan-kawan arab.
Berusahalah sehabis baik untuk diri, insan-insan tersayang dan yang paling penting untuk Islam.

Tunjukkan contoh yang baik untuk adik-adik junior.

Pada angin bayu ku sampaikan salam sayang dan setinggi-tinggi tahniah buat semua... Walaupun antunna jauh tapi ketahuilah.. sentiasa dekat di hati ini..


Bila rindu itu datang, saya tak akan sedih lagi..
Sebab saya belajar untuk terus tersenyum..

Belajar menikmati hidup sementara yang Allah kurniakan tanpa mempersiakannya.

Untuk Naeilah Sayang...

Maafkan saya sebab tersalah taip nama awak:) Ni gambar masa kita main salji. Pengalaman kali pertama saya masuk balai polis bersama antunna semua. Masih segar diingatan tingkah keterujaan naei dan semua ketika lebatnya salji turun. Indah untuk dikenang..

Untuk Izzaty Sayang...

Gambar masa kita sama-sama masuk pertandingan tajwid di universiti. Kali pertama Ayyam Thaqafi universiti bersama-sama adik-adik junior. Saya tak ada gambar yang sesuai di dapur ketika kita sama-sama memasak. Walaupun nampaknya semakin banyak kek yang cantik-cantik yang antunna hasilkan selepas ketiadaan saya, tapi bagi saya kueh talam pisang awak lah yang paling cantik:)

Last but not least..

Untuk Aini Sayang..

Gambar ni, adalah kali pertama antunna jejakkan kaki di Masjid Hassan Thani kan. Kali pertama saya membawa adik-adik junior jalan-jalan menaiki bas raqam 60. Masa itu dalam hati, saya yakin yang antunna akan lebih mahir dengan tempat-tempat di Casablanca dan menjadi lebih berani untuk berdikari di tempat orang.

Kini...

Kehidupan baru saya sebagai sukarelawan dakwah, di Pejabat Agama Islam Daerah Jempol..Jangan lupakan saya dalam setiap doa antunna semua..

Oh Angin lalu..sampaikan salam rindu ini:)

Tuesday, February 22, 2011

Air Mata Dan Senyum Itu


Jadikanlah....

Air mata itu..

Pembersih segala kedukaan..

Kerana di situlah tempatnya

Kita tancapkan usaha lebih gigih

Dan keyakinan yang unggul....



Jadikanlah...

Senyum itu..

Pendorong memolekkan pekerti diri...

Agar kekal di landasan mahmudah

Yang diberkati

Alirkan air mata keranaNya

Senyuman keikhlasan keranaNya

Kerana Kita HAMBA kepercayaan Nya..



Sunday, February 20, 2011

Bila Lidah Terlebih Bicara


"Ketenangan itu bila hati sentiasa ingat kepada Tuhan"


Firman Allah dalam surah Ar-Ra’du ayat 28

Maksudnya :
Orang-orang yang beriman menjadi tenteram dengan mengingati Allah, ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu tenteramlah hati.



Assalamualaikum Wbt..

Kita mahukan ketenangan namun ada sahaja resah menyelubungi jiwa.

Dosa yang hitam dan kelam itu yang sering memalitkan kita dengan resah gelisah.

Kerana kita yang sering terpedaya..

Nampaknya ikhlas memperjuangkan islam agama suci.

Semangatnya bagaikan seorang pahlawan bertempur di medan jihad.

Ya Allah..thabatkan hati pejuang-pejuangmu yang berusaha demi agama Nya.

Namun tanpa disedari sebenarnya..

Kita sering terpedaya dengan perhiasan-perhiasan iblis yang mudah menjerumuskan kita dalam kehitaman dosa.

Kata Imam Ibnu Jauzi di dalam kitabnya Talbis Iblis.

"Antara perhiasan iblis terhadap kemungkaran ialah apabila manusia tidak suka kepada seseorang yang melakukan kemungkaran, maka dia akan menceritakan dan mengutuk orang yang melakukan kemungkaran dan melaknat mereka"

Walaupun tanpa kita sedar. Kita sering mengaibkan seseorang itu di hadapan khalayak ramai. Mana tidaknya, lancar sahaja lidah menyebut nama individu tersebut malah sempat lagi menyebut saudara mara untuk mencerahkan lagi siapa si pelaku kemungkaran.

Kisahnya tampak mudah dan indah...

Namun..

Siapakah kita yang layak menghukum dan melaknat seseorang pelaku kemungkaran itu sesuka hati?

Tambah Imam Ibnu Al Jauzi..

" Boleh jadi kaum itu telah bertaubat dan menjadi lebih baik daripadanya kerana mereka menyesal sedangkan dia (orang yang mengutuk dan melaknat) dengan sifat takabburnya. Termasuk dalam perbahasan ini ialah mendedahkan kecacatan muslimin kerana dia memberitahu orang tentangnya. Menutup keaiban seorang muslim itu adalah wajib walau apa keadaan sekalipun"


Kita perlu menjadi pejuang yang gagah melangkah berani di medan penuh tipu daya.

Ini tipu daya iblis yang sering mengaburi keikhlasan pejuang-pejuang agama Nya.

Jangankan kerana kepetahan berbicara menjadikan kita tergelincir pada batas yang sebenarnya. Lantas menjadikan kita terbelenggu dalam dosa.

Perbanyakkanlah muhasabah dan memohon keampuanan daripada Allah.

Sekadar peringatan buat diri dan sahabat-sahabat semua.

Wallahu ta3ala a3lam.

Tuesday, January 25, 2011

Ulama Tidak Lagi Diperlukan??

Emmm..

Terkejut dengan tajuk ni??

Tapi inilah hakikatnya pada zaman ini.

Dari Sahal Bin Saad As-Saidi RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Ya Allah jangan kau temukan aku dengan suatu zaman di mana para ulama tidak diikut lagi dan orang yang penyantun sudah tidak lagi disegani lagi. Hati mereka seperti orang 'Ajam (pada fasiqnya) lidah mereka seperti lidah orang Arab pada fasihnya.

-HR Ahmad-


Masyarakat sudah jauh dari para ulama, mereka takut nak mendekati orang-orang alim dan berilmu. Orang tidak lagi segan melakukan maksiat walaupun berada di hadapan orang berilmu dan orang yang tinggi akhlaknya. Golongan ini juga pandai bercakap dan memutarbelitkan kenyataan.Percakapan mereka begitu halus dan memikat orang lain padahal mereka adalah seperti harimau yang bersedia untuk menerkam dan mencari mangsanya.



Para Ulama tidak dihormat,
Nasib mereka tidak diangkat,
Siapa lagi pedoman umat,
kalau mereka tidak diminat.
Bila ulama sudah tiada,
Barulah kita rasa kecewa,
mayat terbaring dalam keranda,
tiada orang membaca doa.

Hari ini, 25hb Januari 2011, tajuk muka depan suratkhabar tentang putus cinta artis popular. Saya hanya mampu menggelengkan kepala. Apa kepentingannya sampai boleh dijadikan tajuk besar akhbar? Astaghfirullah..

Artis lebih disanjungi daripada ulama.

Dunia semakin mengagung-agungkan artis dari ulama.
Dunia semakin dibanjiri orang-orang yang mahu disanjung kerana menjadi artis pujaan.
Dunia semakin panas dengan maksiat dan kezaliman..
Dunia semakin..semakin...dan semakin...
Semakin tua dan menuju ke penghujungnya...

Allahu Allah..
Tunjukkan kami jalan menuju keredhaan dan Jannah Mu..




Waallahu a3lam bissowab..

Shukran Ust Safarul tumpangkan saya untuk mengupdatekan farahimani.
jazakaAllahu khairan jazak..

Saturday, January 15, 2011

FarahImani dan Bumi Malaysia

Assalamu3alaikum WBT ..


Entri pertama yang ditulis di bumi Malaysia.

Fuhhhhhh..banyaknya sekali habuk dan sawang-sawang menyelaputi ruang sempit ini.. :)

Apa khabar semua?? Alhamdulillah masih punya ruang dan peluang untuk bersua lagi.


Saya mahu kembali menulis. ( Ini azam saya..)

Anda merindui kemunculan entri farahimani??

Kepada pembaca farahimani yang tertanya-tanya ke mana menghilangnya penulis blog ini. Oh kesal sekali hati membiarkan farahimani sepi. "Tidak perlu alasan untuk mengelakkan diri daripada menghilang."-Itu kata hati.


Tapi...


Sekadar cerita untuk dikongsi-kongsi dengan insan-insan yang perlukan jawapan untuk persoalan kemana penulis menghilang.


SEPTEMBER 2010- Kembali ke tanah air. Sudah sampai ke kampung tercinta. Felda Lui Selatan 2 yang indah lagi permai tapi kini sangat terasa panas dek kerana ladang-ladang getah yang dulunya terbentang menghijau sudah direbahkan ke bumi dan diangkut oleh jentera-jentera besar. (Proses penanaman semula). Hampir sebulan membiasakan diri dengan cuaca, masa dan selera. Ridur di siang hari dan berjaga di waktu malam. Menjadikan kesihatan menjadi agak terjejas dan terganggu tapi alhamdulillah tidak serius.



OKTOBER 2010- Menjadi surirumah sepenuh masa. Mengambil alih tugas emak. Emak kurang sihat. (ku mohon doa kalian untuk bonda ku). Sebenarnya bukan mudah untuk menguruskan urusan-urusan rumah. Baru tersedar betapa susahnya emak-emak kita menjaga kita kan. Dari sekecil-kecil perkara untuk diuruskan sampai sebesar-besar perkara untuk difikirkan. Hebatnya emak-emak kita kan. Dalam masa yang sama curi-curi masa juga saya belajar memandu.



NOVEMBER 2010- Capaian internet yang terbatas membuatkan diri ini tidak bersemangat meneruskan minat ber 'blogging'. Kadang-kadang sempat juga meminjam broadband maxis abang untuk melihat-lihat perkembangan kawan-kawan di facebook dan dapat jugalah membaca emel. Sempat juga online di web yahoo. Kadang-kadang line ok. Kadang-kadang asyik disconnection je. Menjadikan mood menulis hilang. Sepanjang cuti-cuti sekolah masa juga dihabiskan untuk meluangkan masa balik kampung di Hulu Selangor. Dapat juga menajam-najam kan juga bahasa jawa yang sudah lama tumpul.



Disember 2010- Latihan memandu di institut Arah Kencana Rompin. Alhamdulillah sudah ada lesen P untuk motorsikal. Hanya Allah je yang tahu betapa risaunya nak ujian JPJ untuk motorsikal. Menanti-nanti masa yang sesuai untuk ujian JPJ untuk kereta pula sebab masa sekarang sudah penuh dengan tanggungjawab sebagai sukarelawan dakwah di Pejabat Agama Islam Daerah Jempol (PAID JEMPOL). InshaAllah jika ada kesempatan lain ingin sekali dikongsikan pengalaman yang sedikit ini untuk semua.



Januari 2011: Alhamdulillah 15hb ini, kira genap sebulan bertugas sebagai sukarelawan dakwah di PAID Jempol. Bila mula menyewa rumah dekat dengan tempat kerja terpaksa tinggalkan tugas surirumah. Emak sedih sebab sunyi rumah tanpa celoteh puteri kesayangan dia. Demi masa depan, terpaksa direlakan. Berat hati mahu tinggalkan emak di rumah. Selama berada di rumah, memang selalu temankan emak ke klinik dan hospital. Beberapa kali ke Seremban untuk berjumpa doktor pakar. Hasilnya masih begitu. Kasihan mak. Saya yakinkan mak yang kita jangan berhenti berusaha untuk mencari jalan untuk sembuh , kerana kita yakin yang memberi itu KESEMBUHAN hanyalah Allah. Semoga kita sentiasa redha dengan ujian Allah dan jangan berputus asa dengan RAHMATNYA.



Terasa sudah panjang untuk entri kali ini. Mungkin sudah cukup sekadar coretan mengubat rindu menulis. Walaupun sudah ada yang buang farahimani dalam blog list mereka. Saya terpaksa redha. Kesilapan saya membiarkan farahimani sepi. Semoga Allah berikan saya kekuatan untuk menulis untuk menyampaikan sesuatu yang mampu memberi manfaat buat semua.



Waallahu Ta3la A3lam.

Semoga Islam terus tegak berdiri di muka bumi ini.