Saturday, March 6, 2010

Kembalikan Diri


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Ya Rahman Ya Rahim
Semoga Allah meredhai dalam setiap patah yang cuba dikongsi dan dengan nama Mu ya Allah ku pohon sentiasa diberikan petunjuk kepada diri yang lemah ini dan kami yang ingin kembali kepadamu dengan sebenar-benarnya inshaAllah..

Sepi farahimani seketika. Terasa agak kaku untuk kembali menulis. Kekusutan pengurusan masa dan konflik diri yang ku cuba seimbangi. Menikmati hari-hari yang dilalui dengan penuh rasa kesyukuran walaupun kadang-kadang didatangi jiwa-jiwa pelik yang memang amat sukar untuk difahami. Misi mengawal keadaan untuk menjadi lebih stabil. Menyelamatkan sesuatu yang seperti sudah mahu hilang.

Hidup ini bukanlah semudah yang difikirkan. Sememangnya ku mahu mengerti dan memahami apa itu erti sebenar sebuah perjuangan. Musafir ilmu dalam mencari hakikat diri dan memahami erti sebenar sebuah kehidupan sebagai seorang hamba dalam mencari hakikat perhambaan diri untuk penciptaNya dan mengenali Tuhan Nya. Sesungguhnya keredhaan Allah itu adalah matlamat hidup yang didambakan oleh semua insan. Apalah erti hebat di pandangan manusia tapi kosong di hadapanNya.

Sesungguhnya setiap sesuatu itu bermula dengan niat. Niat yang baik maka natijahnya juga akan baik dan juga sebaliknya. Kita akan memperoleh apa yang kita niatkan dan hajatkan dengan kehendakNya. Seperti juga meletakkan matlamat, kerana itu juga merupakan niat. Maka dengan meletakkan sesuatu matlamat itu sebenarnya paksi utama apa yang dimahukan dan dikecapi.

Rasuluallah SAW bersabda: "Bahawasanya segala amalan itu adalah dengan niat dan setiap orang akan mendapat berdasarkan apa yang di diniatkan...." Hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam meletakkan matlamat dalam hidup ini sebenarnya, kita harus sentiasa berwaspada supaya dalam apa jua yang kita lakukan, kita mahu mendapat manfaat di dunia dan yang lebih penting untuk akhirat.

Seringkali manusia terlupa akan akhirat. Walaupun perkhabaran itu jelas dan pasti. Jelas dengan prinsip sebagai seorang muslim yang berpegang teguh dengan rukun yang islam yang lima dan rukun iman yang ke enam. Namun keindahan dunia terlalu memperdayakan. Sehingga terhijab memandang akhirat yang abadi di sana.

Dengan itu, sentiasalah mentajdidkan niat kita. Agar apa yang mahu kita kecapi dan genggam tidak sia-sia. Kita mahu matlamat yang jelas dan yang paling penting mendapat keberkatanNya

"Niat itu jangan dipisahkan dengan IKHLAS"

Daku ingin IKHLAS untuk sentiasa bertakhta dalam apa jua keadaan kerana dengan keikhlasan itu adalah perlambangan kesungguhan malah membuktikan kecintaan dan ketaatan abadi untuk PenciptanNya. Ikhlas tidak akan hadir ke dalam hati yang kotor. Martabat ikhlas itu hanya pada hati-hati hamba yang benar-benar mahu kembali sepenuhnya kepada TuhanNya.

Sesungguhnya apabila pergerakan hati telah sejahtera maka sejahteralah pergerakan anggota tubuh badan. Apabila hati telah sejahtera maka tiada di dalamnya melainkan kehendak (iradah) dan iradah yang dikehendakiNya. Tidak akan bergerak anggota ini melainkan kepada apa yang dikehendaki oleh Allah. Oleh itu hamba itu akan bersegera menuju redhaNya dan menjauhi apa yang dimurkaiNya. Dan juga menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang boleh dirinya terjatuh ke dalam perkara dimurkaiNya sekalipun dia tidak yakin dengan keadaan tersebut.


" Allahumma Inni Asaluka Qalban Saliman"
Ya Allah, aku memohon kepadamu hati yang sejahtera

Allahu Ta3ala A3lam...

1 comment:

Merih said...

Selamın Aleykum. Nice Sharing Thanks